PETALING JAYA – Seorang bapa separa buta bersama isteri sanggup datang dari jauh menggunakan perkhidmatan e-hailing semata-mata mahu bertemu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bagi memohon bantuan demi pelajaran dan masa depan anak mereka.
Asyraf Wajdi berkata, lelaki tersebut dikenali sebagai Muhsin Abbas bersama isterinya datang dari Ampangan, Negeri Sembilan untuk bertemu beliau yang berada di Ulu Sepri Rembau bagi menghadiri program Kursus Pengurusan UMNO Bahagian Seremban.
“Pak Cik Muhsin ni separa buta, baru kemalangan dan tak dapat nak bekerja, juga orang kawasan saya. Dia datang mengadu tak mampu nak bayar yuran IGCSE dan perbelanjaan lain untuk anaknya di MRSM, mengadu ADUN Lenggeng, Datuk Mohd. Asna kepada saya.
“Tengah hari tadi sampai di Ulu Sepri Rembau saya didatangi Datuk Asna yang membawa Pak Cik Muhsin dan isterinya datang jauh dari Ampangan dengan Grab semata-mata untuk mohon pertolongan saya.
“Anak perempuannya cemerlang dan sudahpun mendaftarkan diri di MRSM Tun Abdul Razak, Pekan Pahang dalam aliran IGCSE,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau tersentuh hati kecekalan kedua-dua pasangan miskin itu yang sanggup mengambil Grab jauh ke Rembau dari Ampangan semata-mata untuk bertemu dengannya.
“Lebih terharu semangat kedua ibu bapa ini untuk melihat anaknya yang cemerlang dapat meneruskan pengajian di MRSM walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
“Sudahlah separa buta kerana masalah kencing manis kronik, baru lepas kemalangan dan tidak dapat bekerja, namun tetap bersungguh-sungguh mahu melihat anak perempuannya berjaya dalam pelajaran,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, beliau akan memasukkan anak pasangan tersebut dalam skim Bantuan Untuk Pendidikan Mara (BUDI) bagi pelajar-pelajar miskin yang berada di MRSM.
“Di bawah skim BUDI ini, pelajar-pelajar MRSM terpilih akan menerima pengecualian bayaran wang caruman dan yuran, bantuan wang saku RM50 sebulan dan bantuan RM1,100 sekali pada setiap tahun
“Insya-Allah Mara tetap prihatin dan akan memberikan keutamaan membantu pelajar-pelajar dalam kalangan keluarga miskin agar tiada yang tercicir daripada arus pendidikan perdana,” katanya. – KOSMO! ONLINE