[VIDEO] ‘Seorang buka silat, seorang lagi Muay Thai’

1 day ago 9

PETALING JAYA – Seorang pemandu Perodua Bezza didakwa memandu secara melulu dengan masuk ke laluan lain tanpa memberikan isyarat, sambil tangannya memegang sesuatu seperti besi sekali gus mengundang bahaya kepada orang lain.

Tindakan pemandu kereta berwarna biru itu dirakam kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ yang kemudiannya tular di media sosial dan difahamkan kejadian berlaku di Pulau Pinang.

Berdasarkan video berdurasi dua minit 10 saat yang tular, kereta Perodua Bezza itu sedang melalui satu laluan dan kelihatan di depannya ialah sebuah kereta Honda Civic FC.

Sebaik tiba di sebuah plaza tol, pemandu kereta Perodua Bezza terus ke lorong SmartTAG dan dia berhenti di situ serta keluar dari kenderaannya.

Begitu juga dengan pemandu kereta Honda Civic FC apabila dia melakukan perbuatan sama dengan berhenti di lorong MyRFID serta keluar dari kenderaannya untuk bersemuka dengan pemandu Perodua Bezza.

Kemudian, kelihatan pemandu Perodua Bezza yang tidak berbaju serta hanya berkain pelikat dan memakai topi keluar dari kenderaannya, diikuti pemandu Honda Civic FC juga keluar dari keretanya.

Mereka dilihat bercakap antara satu sama lain, namun tidak diketahui perbincangan atau pergaduhan tersebut.

Pemandu Perodua Bezza kemudian masuk ke keretanya dan keluar semula sambil memegang sesuatu seperti besi di tangannya dan seolah-olah mahu membaling ke arah pemandu Honda Civic FC.

Seterusnya, pemandu Perodua Bezza dilihat membuka langkah seolah-olah mahu bersilat, manakala pemandu Honda Civic FC ‘membalasnya’ dengan melakukan tindakan sama seperti seorang atlet Muay Thai.

Bagi meredakan ketegangan tersebut, seorang pemandu lori yang berada di lorong Touch ‘n Go keluar dari kenderaannya serta meminta kedua-dua pemandu kereta itu beredar dari situ.

Dalam masa sama, aksi kedua-dua mereka membuka langkah untuk bersilat dan melakukan Muay Thai turut dirakam oleh pemandu lain serta tular di media sosial sekali gus mengundang gelak ketawa orang ramai.

Menjengah ke ruangan komen, biarpun mereka marah dengan sikap pemandu Perodua Bezza yang didakwa memandu secara berbahaya, mereka turut terhibur dengan aksi kedua-dua lelaki tersebut.

“Lawak gila, walaupun nampak dia orang berdua tu betul-betul tengah bergaduh tentang sesuatu. Tapi apa punca jadi hal ni? Ini kalau dia orang berdua tengok balik video ni, rasa-rasanya dua dua pecah perut tergelak,” komen seorang pengguna X.

“Seorang buka silat, seorang lagi buka Muay Thai dah. Adoi,” komen seorang lagi pengguna X.

“Terbaik abang lori tu,” komen seorang lagi individu. – KOSMO! ONLINE

Ada video sebelum kejadian inihttps://t.co/7O62ZpKPwm pic.twitter.com/VNoYRwJ5iV

— @ (@anthraxxx781) May 31, 2025

Read Entire Article
Pertanian | | | |