KAJANG – Polis mengesahkan menerima satu laporan berkait batu ukiran wajah Mao Zedong yang merupakan Pengerusi Parti Komunis China bersama puisi berideologi komunisme di sebuah memorial di Semenyih, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan dibuat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun pukul 4.16 petang, kelmarin.
“Setakat ini, kita sudah rakam tiga keterangan saksi bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis ke atas aduan tersebut secara menyeluruh termasuk satu video viral berdurasi dua minit 12 saat di dalam sosial media TikTok yang membahaskan isu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis yang berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, seorang wanita mendedahkan batu ukiran wajah Mao Zedong serta puisinya dikesan di kawasan Semenyih.
Menurutnya, rakyat China dipaksa untuk menghafal puisi tersebut dan ia dipercayai sebagai taktik komunis untuk mencetuskan konflik.
“Saya percaya pihak polis akan melakukan apa yang patut bagi mengekang kefahaman komunis daripada memecahbelahkan rakyat Malaysia.
“Diharapkan rakyat Malaysia dapat menyokong saya dan rakan Pertubuhan Tuidang Malaysia,” ujarnya dalam rakaman video tular. – KOSMO! ONLINE
@rafizahcianlin2♬ original sound – Rafizah Cian Lin