‘Jujurnya ditelan mati mak, dimakan mati bapa’

6 hours ago 2

PETALING JAYA – Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri tampil menegur pihak luar agar tidak terlalu mencampuri urusan keluarganya selepas kemelut membabitkan ibunya, Rozita Ibrahim, isteri dan adik-beradiknya hangat diperkatakan.

Aliff berkata, selama ini dua sedaya upaya menyembunyikan masalah dalaman keluarga selama ini dan menyeru semua pihak agar berhenti menjadikan isu itu sebagai bahan kecaman dan tohmahan.

“Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku. Ini bukan sesuatu yang menggembirakan atau konten drama.

“Saya sayang keluarga saya. Keluarga kami unik tapi penuh kasih sayang. Walaupun kami bukan satu bapa, tapi kami satu rahim.

“Saya sudah sedaya upaya menutupi segala masalah yang berlaku dalam keluarga kami. Saya sebagai anak,abang,suami turut tersepit dalam keadaan ini malah sukar untuk saya luahkan bila melibatkan ramai orang,” katanya menerusi Instagram.

Dalam hantaran tersebut, pelantun Abang Nak Tegur itu turut berkongsi kekesalannya terhadap situasi yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila ibunya terpaksa berdepan tekanan hanya disebabkan perkahwinan baharu.

“Mak saya sudah tua, dah ada anak-anak remaja dan cucu. Adik-adik saya pun masih mentah. Mereka terpaksa menerima orang baharu dalam keluarga, bukan satu perkara yang mudah.

“Jangan berlebihan. Hormatilah keluarga kami,” tegasnya

Aliff, 37, juga mengakui turut terkesan walaupun cuba berlagak tenang di hadapan khalayak.

“Awalnya saya gembira mak nak kahwin sebab saya tahu mak tanggung banyak masalah. Tapi selepas apa yang terjadi, saya sendiri jadi tertekan.

“Mungkin nampak saya happy masa live, tapi realitinya tidak begitu. Saya reda sebab tahu itu pilihan mak. Yang penting, dia bahagia.

“Jujurnya ditelan mati mak dimakan mati bapa, banyak benda ingin dikongsikan tetapi saya rasa tidak manis, cukuplah apa saya rasa, saya simpan untuk diri saya sahaja,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aliff mengingatkan ibunya agar tidak melupakan kasih sayang anak-anak dan sentiasa membuka ruang untuk berdamai.

“Kepada mak saya Rozita binti Ibrahim. Saya tak nak apa-apa. Saya cuma nak semua orang bahagia. Maaf kalau Kri salah. Kalau mak ada masalah, panggillah kami. Kami tahu di mana kedudukan kami.

“Kami akan sentiasa ada untuk mak, bukan sebab harta, tapi sebab kasih sayang. Selamat pengantin baru, mak,” luahnya

Terdahulu, heboh mengenai isu perkahwinan Rozita selepas tular video lelaki misteri muncul di belakangnya semasa siaran langsung dalam bilik hotel.

Anaknya, Nur Ain Sufiah kemudian mengesahkan Rozita sudah berkahwin semula dan enggan mengulas lanjut mengenai penceraian ibunya.

Rozita kemudian berkongsi gambar bersama suami baharu semasa menunaikan umrah pada Mac lalu. — KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |