PETALING JAYA – Pemandu kereta Honda Accord maut dalam kebakaran selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang MRT di Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superitendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada pukul 7.24 pagi.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang MRT sebelum terbakar kira-kira pukul 6.20 pagi.
“Mangsa terbakar seluruh badan dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.
“Sehingga kini, maklumat mangsa tidak dapat dikenal pasti,” ujar beliau.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kepada sesiapa yang mempunyai rakaman papan pemuka (Dashcam) semasa kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
@donavantan547 Federal Highway KL bound. #accident #federalhighway ♬ original sound – donavantan547