KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu e-hailing memandu secara berbahaya sehingga hampir melanggar seorang pejalan kaki di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini membawa padah apabila dia ditahan polis, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) mengesan satu video tular dimuat naik di laman TikTok memaparkan kejadian.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta adalah seorang lelaki berusia 42 tahun merupakan seorang pemandu e-hailing.
“Suspek memandu kereta jenis Perodua Bezza telah bertindak melanggar lampu isyarat merah di Jalan Sultan Hishamuddin dari arah Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian itu, Mohamed Usuf berkata, pemandu kereta terbabit hampir melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan di laluan lintasan jalan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, JSPT KL telah membuat tangkapan ke atas pemandu terbabit kira-kira pukul 8.15 pagi dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Trafik Jalan Duta untuk pertuduhan pukul 9 pagi esok.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT KL di talian 03-2026 0267/ 0269. – KOSMO! ONLINE
@wanalifasyraf_Ni bukan langgar lampu merah je, dah macam cubaan membunuh 😭