[VIDEO] Kalau sudi, Putera jadi anak angkat sayalah – Asyraf Wajdi

3 weeks ago 20

PETALING JAYA – “Putera ni kalau sudi jadi anak angkat sayalah”.

Itu antara tawaran yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada pelajar yatim piatu yang tular mendaftar seorang diri di Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Asyraf Wajdi turut menawarkan pelajar terbabit, Putera Iman Shah Shahiran, 19, perbelanjaan bulanan tambahan.

“Saya (ada) ramai juga anak angkat ramai yang dah berjaya. Jadi, saya nak tengok Putera pun berjaya juga. Sebab ilmu saja boleh mengubah kehidupan kita.

“Apa juga kebaikan yang Putera buat di dunia ni, insya-Allah pahalanya sampai kepada mak ayah. Jangan lupa sembahyang, doa kepada mak ayah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video perbualan yang dimuat naik di media sosial miliknya, hari ini.

Putera Iman bagaimanapun turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas bantuan yang diterima dengan penuh rendah diri.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Dr dan Mara. Saya akan gunakan peluang yang saya dapat dengan buat yang terbaik, banggakan mak ayah dan untuk hargai peluang yang saya dapat ni.

“Saya tahu ramai lagi orang yang saya rasa lagi layak daripada saya, tapi atas sebab tertentu tuan pilih saya. Dapat peluang macam ni saya tak akan sia-siakan,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Putera Iman akan diberi pengecualian yuran pengajian sepanjang pengajian di UUM.

Pelajar itu juga akan disediakan penginapan, kelengkapan seperti komputer riba serta perbelanjaan asas yang diperlukan bagi memastikan pembelajaran berjalan lancar.

Putera Iman kehilangan bapa, Shahiran Pake Chi beberapa minggu sebelum mendaftar ke UUM manakala ibunya, Khatijah Mohd Rashid meninggal dunia pada 2019.

Kisahnya mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang juga memberikan kata-kata semangat kepadanya menerusi panggilan video.

Zambry memaklumkan, kementerian akan memberikan sokongan kepada Putera Iman melalui Program Sulung, iaitu inisiatif khas bagi membantu anak pertama dalam keluarga yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. – KOSMO! ONLINE

@drasyrafwajdi KISAH ANAK YATIM PUTERA YANG CEKAL… Sepanjang malam kelmarin ramai yang ‘tagged’ saya perihal adik Putera Iman Shah bin Shahiran. Kisahnya cukup menyayat hati saya, ibunya meninggal dunia beberapa tahun dahulu, setelah hanya sempat sebulan meraikan kegembiraan atas kejayaan Putera menyambung pengajian di MRSM Transkrian. Arwah meninggal sebulan selepas Putera masuk mendaftarkan diri. Arwah ayah yang hanya bekerja sebagai Pengawal Keselamatan (Guard) pula meninggal secara mengejut bulan lepas. Tinggallah Putera sebatang kara tiada tempat mengadu dan berkasih sayang. Apabila mendapat tempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), peringkat awal berkira-kira untuk tidak meneruskan kerana nak terus bekerja. Namun, alhamdulillah setelah dipujuk rakan taulan, beliau yang merupakan pelajar cemerlang di Pusat Matrikulasi dengan CGPA 3.7 secara bersendirian naik keretapi mendaftarkan diri seorang diri masuk ke UUM. Mujurlah pihak Menteri Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr @zambryabdkadir ♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Read Entire Article
Pertanian | | | |