BUKIT KAYU HITAM – Thailand kekal menjadi destinasi pilihan rakyat Malaysia untuk bercuti bersama keluarga apabila kemasukan pelancong dari negara ini semakin meningkat sejak pagi tadi.
Kenderaan persendirian dan bas mula beratur menghala ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam seawal pukul 5.30 pagi tadi.
Tinjauan kira-kira pukul 8 pagi mendapati deretan kenderaan berbaris sepanjang kira-kira satu kilometer, namun keadaan masih terkawal dan pergerakan trafik berjalan lancar.
Situasi sama turut berlaku di Kompleks ICQS Padang Besar di Perlis apabila orang ramai dilihat beratur panjang dengan membawa beg dan bagasi masing-masing seawal pukul 7 pagi tadi.
Situasi itu menunjukkan insiden bom dan serangan di tiga wilayah selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat sejak 22 Ogos lalu serta isu boikot dalam kalangan penunggang motosikal Malaysia tidak memberi kesan ketara terhadap kemasukan pelancong dari negara ini.
Penduduk dari Kangar, Perlis, Norashikin Idros, 41, berkata, dia bersama keluarga memilih memasuki Thailand lebih awal iaitu petang semalam bagi mengelak kesesakan di pintu sempadan.
“Saya dan keluarga menyewa van untuk ke Hatyai menerusi Padang Besar dan keadaan semalam sangat lancar. Saya difahamkan laluan di Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam mula sesak sejak pagi tadi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dia dan keluarga sempat berkunjung ke Lee Garden Night Market malam tadi untuk menikmati suasana serta pelbagai juadah di situ.
“Cuma pagi ini hujan lebat di Hatyai dan saya lihat jumlah kenderaan dari Malaysia yang masuk semakin banyak,” ujarnya.
Menurutnya, cuti sekolah kali ini dimanfaatkan untuk membawa keluarga mentuanya dari Tawau, Sabah bercuti dan menikmati suasana di Hatyai.
“Ada yang tanya sama ada saya tidak bimbang kerana berlaku letupan bom di selatan Thailand, tetapi bagi saya Hatyai masih selamat kerana jauh dari tiga wilayah yang terjejas.
“Saya lihat semakin ramai rakyat Malaysia masuk dan kita doakan semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya.
Sementara itu, pelancong dari Ipoh, Perak, Azura Jusoh, 48, berkata, dia tiba di Changlun petang semalam bagi menguruskan insurans sebelum memasuki Thailand pagi ini.
“Ini merupakan kali kedua saya ke Hatyai. Kali pertama bersama rakan-rakan dan cuti sekolah ini saya ambil kesempatan untuk membawa anak-anak pula. Pagi ini hujan lebat di Hatyai, jadi perlu tunggu hujan reda sebelum keluar berjalan-jalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@amirul_sintokleisure Meriah harini, Selamat bercuti semua #hatyai #padangbesar ♬ suara asli – Iqbal Aisyah – apud
23 hours ago
11





![[VIDEO] Pagi ini nampak Sulong jalan balik hala Titiwangsa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/SULUNG-GAJAH.jpeg)




























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














![[VIDEO] ‘Inilah istilah jatuh, bangun sendiri’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/TULAR-LORI-NAHAS.jpeg)