4 beranak maut: Kanak-kanak lelaki, perempuan ditikam di leher

21 hours ago 9

PETALING JAYA – Dua beradik masing-masing lelaki dan perempuan yang merupakan antara empat mangsa kematian tragis di sebuah kondominium di Desa ParkCity, Kepong, Khamis lalu maut akibat kecederaan tikaman di leher.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bedah siasat yang dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari semalam mendapati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu mengalami kecederaan luka tikaman di leher.

“Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun turut maut akibat luka tikaman di bahagian sama berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan semalam.

“Bedah siasat ke atas isteri yang juga ibu kepada dua kanak-kanak tersebut dijalankan pada pukul 2 petang hingga 7.30 malam hari sama.

“Kematian wanita itu disahkan disebabkan kecederaan akibat objek tajam pada bahagian leher dan dada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fadil, bedah siasat ke atas suspek iaitu bapa dijadualkan pada pukul 2 petang hari ini selepas pemeriksaan di lokasi kejadian selesai.

Jelasnya, pasukan Forensik Hospital Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut hadir semula di lokasi kejadian pagi ini bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun katanya, dakwaan seperti dalam kandungan nota berkaitan ‘love scam’ termasuk kewujudan ‘scammer’,  kerugian dan hutang berjumlah RM260,000 masih dalam siasatan.

“Begitu juga dengan kronologi kejadian dan dakwaan suspek bertindak sendirian membunuh isteri dan dua anak sebelum membunuh diri, perkara itu juga masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau memaklumkan, mayat empat beranak tersebut belum dituntut oleh ahli keluarga.

“Kesemua mayat hanya akan dituntut selepas proses bedah siasat ke atas suspek selesai pada pukul 6 petang ini. Pihak keluarga mengetahui masalah ‘love scam’ dan terperangkap dengan pelaburan haram,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan pada pukul 3.32 petang berhubung seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditemui mati di bangunan kediaman terbabit.

Seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan isteri lelaki berkenaan serta dua kanak-kanak, masing-masing perempuan dan lelaki berusia sembilan dan tujuh tahun, turut ditemukan di dalam kediaman tersebut.

Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |