Banjir Nepal: Keluarga rakyat Malaysia hilang rayu hantar pasukan SAR segera

18 hours ago 7

GOMBAK – “Setiap jam sangat berharga.”

Itu rayuan keluarga 49 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet selepas lebih 72 jam keberadaan mereka masih belum diketahui sehinhga kini.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), Dr. Manivannan Rethinam berkata, kerajaan diminta menggunakan semua saluran diplomatik dengan Nepal dan China bagi mendapatkan kelulusan segera untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia.

Menurutnya, tempoh kritikal terus berlalu sedangkan masih belum terdapat perkembangan jelas dalam usaha mengesan mangsa di kawasan Rasuwagadhi, termasuk di sebelah Nepal serta Tibet-China.

“Setiap jam yang berlalu tanpa perkembangan bermakna atau maklumat yang disahkan meningkatkan kebimbangan keluarga bahawa masa berharga mungkin terbuang dalam usaha mencari dan menyelamatkan insan tersayang.

“Kami percaya semua sumber mencari dan menyelamat yang ada perlu dipertimbangkan serta digerakkan sekarang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Manivannan berkata, seramai 49 orang yang hilang itu membabitkan tiga kumpulan iaitu 23 rakyat Malaysia bersama tiga warga Singapura di bawah Leaf Holiday, sembilan orang di bawah Dream Tibet Travels and Tours serta 17 orang lagi di bawah Fishtail Tours and Travels.

Katanya, lokasi terakhir kumpulan terbabit dikesan sekitar sempadan Rasuwagadhi Nepal-Tibet dengan kemungkinan mereka berada berhampiran imigresen, sedang menyeberangi sempadan atau telah bergerak menuju Gyirong atau Kerung di Tibet.

Malah katanya, keluarga mempunyai rekod lokasi terakhir dan mesej mangsa sehingga kira-kira 15 minit sebelum banjir melanda kawasan berkenaan.

“Kita boleh mengecilkan radius pencarian kepada kira-kira 20 kilometer kerana kita mempunyai mesej terakhir dan lokasi terakhir telefon mereka.

“Rakaman CCTV (televisyen litar tertutup) di Imigresen Tibet pula menunjukkan banjir melanda bangunan itu kira-kira pukul 10.59 pagi waktu Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan mendapatkan maklumat terus daripada pihak China berhubung operasi SAR, senarai mangsa terselamat, korban atau mana-mana rakyat Malaysia yang mungkin sudah ditemukan di sebelah Tibet.

Menurutnya, keluarga ketika ini menerima lebih banyak maklumat mengenai perkembangan di sebelah Nepal, namun hanya sedikit atau tiada maklumat langsung mengenai situasi di Tibet-China.

Jelasnya, keluarga bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya inginkan jawapan, penyelarasan dan tindakan segera bagi membawa pulang insan tersayang dengan selamat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |