Shaun papar keakraban rakyat Malaysia menerusi masakan

1 hour ago 2

PENGGUNA media sosial tentu pernah melihat kandungan seorang lelaki berketurunan Cina yang memasak masakan Melayu.

Suara yang lembut, tutur kata yang tenang, penggunaan bahasa Melayu yang fasih serta rakaman perbualan secara spontan bersama peniaga di pasar basah menjadi antara ramuan yang membuatkan kandungan dihasilkan Shaun Liew begitu mudah melekat di hati penonton.

Tanpa muzik yang terlalu kuat atau suntingan yang berlebihan, setiap videonya tampil sederhana, namun cukup mengundang rasa selesa.
Lebih menarik, kandungan yang dihasilkan anak muda yang membesar di Subang Jaya, Selangor itu bukan sekadar memaparkan resipi, sebaliknya turut merakam keakraban rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang melalui makanan.

Banyak menampilkan masakan dan budaya Malaysia pelbagai kaum sehingga turut menampilkan siri Malaysiaku menjelang Hari Kebangsaan tahun lalu, Shaun nampaknya cukup terserlah dengan cubaan menyediakan resipi masakan Melayu.

Berkongsi dengan CitaRasa, Shaun berkata, kecintaannya terhadap masakan bermula sejak kecil.

Bukan sekadar gemar memasak, dia juga sentiasa ingin mengetahui bagaimana sesuatu hidangan terhasil serta sains yang berlaku di sebalik setiap proses penyediaannya.

“Dari kecil lagi saya memang suka memasak. Saya juga suka belajar sains di sebalik cara sesuatu makanan itu menjadi,” katanya.

Pada peringkat awal, ramai pengikut yang mengenali dirinya kerana bercita-cita untuk membuka sebuah pop up menjual roti mencadangkan Shaun berkongsi resepi makanan Cina halal.

Namun, Shaun akhirnya mencabar dirinya mempelajari sesuatu yang baharu iaitu masakan Melayu. Baginya, masakan Melayu bukan sekadar terkenal dengan kepelbagaian rempah dan teknik penyediaan, malah turut mencerminkan budaya serta identiti masyarakat negara ini.

Walaupun sedar dia mungkin melakukan kesilapan, dia tetap memberanikan diri untuk mencuba.

“Selepas setahun, barulah saya berani cakap pada diri sendiri untuk buka buku dan cuba masak makanan Melayu walaupun saya tahu hasilnya mungkin tidak sempurna. Asalkan ada niat, boleh sahaja mencuba,” katanya.

Shaun juga dilihat lebih gemar mendapatkan barang masakan daripada pasar basah. Baginya, cara itu membolehkan dia berbual dengan peniaga dan belajar lebih banyak tentang masakan yang mahu dihasilkan.

ANTARA masakan Melayu yang dihasilkan Shaun.

Kandungan Shaun mendapat pujian dan berjaya mempengaruhi pengguna platform TikTok untuk belajar masakan Melayu. Percubaan pertamanya menghasilkan hidangan Melayu bermula dengan nasi lemuni.

Menurut Shaun, rasa nasi tersebut sedikit mengingatkannya kepada hidangan masyarakat Hokkien iaitu lei cha kerana mempunyai rasa pahit yang lembut serta aroma herba yang unik.

Bagaimanapun, dia mengakui ketika itu dia langsung tidak mengetahui sukatan sebenar daun lemuni yang perlu digunakan.

“Saya main letak saja ikut rasa hati. Boleh dikatakan nasi lemuni yang dimasak rakan jauh lebih enak,” katanya.

Shaun menghasilkan kuih sagu merah dengan bimbingan seorang rakan Melayu.

Begitu pun, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar. Malah, setiap kesilapan dianggap sebagai proses memahami keunikan masakan tradisional Malaysia dengan

lebih mendalam.

Antara hidangan yang masih dianggap paling mencabar baginya ialah hati lembu kicap manis.

Shaun berkata, sehingga kini dia masih mencari kaedah terbaik untuk menghasilkan rasa hati lembu yang enak tanpa bergantung kepada penggunaan sos secara berlebihan.

Selain meneroka budaya masakan, Shaun juga mempelajari aspek budaya yang lain seperti tarian kaum India.

Antara menu masakan Melayu yang sudah dihasilkan Shaun termasuk kerabu jantung pisang, gulai nanas ikan masin talang darat, pajeri terung, ayam gulai hijau dan sambal tempoyak Johor, singgang daging mek comel, bilis berpantang 40 hari dan banyak lagi.

Dia juga dengan berbaju Melayu pernah menghasilkan nasi lemak sambal petai udang selain turut cuba menghasilkan kuih seperti onde-onde, kuih sagu merah, cakoi dan lain-lain.

Jiwa cintakan Malaysia dalam dirinya turut ditonjolkan dengan menghasilkan sajian kaum India seperti chicken varuval, masakan Borneo seperti laksa Sarawak dan mi Tuaran serta masakan Peranakan seperti nyonya asam fish.

Mengulas proses menghasilkan video-videonya, biarpun cuma berdurasi beberapa minit, Shaun sebenarnya memperuntukkan masa yang panjang untuk hasilkan setiap kandungan.

Katanya, proses membeli bahan mengambil masa kira-kira dua jam, diikuti dua hingga tiga jam untuk memasak. Namun proses paling lama adalah menyunting video yang boleh mengambil masa hingga 12 jam dan dilakukan selama beberapa hari.

Bagi Shaun, makanan mempunyai keupayaan luar biasa untuk merapatkan hubungan sesama manusia kerana semua orang berkongsi pengalaman menikmati hidangan di meja makan.

“Saya rasa apa yang saya buat ini ada peranan penting untuk menyatukan kita sebagai satu negara.

“Saya percaya jika kita mahu kumpulkan orang ramai, ia bukanlah dengan cara memberitahu mereka apa yang patut dibuat, sebaliknya ia boleh dicapai dengan menunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Menurut Shaun, rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi terhadap budaya antara satu sama lain. Perasaan itu, katanya, membuatkan kandungan berkaitan makanan mudah mendapat perhatian kerana ia membuka ruang untuk masyarakat saling mengenali tanpa mengira latar belakang.

“Perkara paling istimewa tentang rakyat Malaysia adalah kita semua sentiasa rasa ingin tahu untuk kenal antara satu sama lain supaya kita dapat jadi lebih rapat.

“Kandungan memasak boleh memainkan satu peranan sebagai peringatan bahawa kita semua inginkan kedamaian,” katanya.

Lebih bermakna, sepanjang menghasilkan kandungan, Shaun turut mempelajari sesuatu tentang dirinya sendiri dan masyarakat.

Jika dahulu dia sering beranggapan rakyat Malaysia perlu menjadi lebih baik, namun pengalaman bertemu pelbagai individu membuatkannya sedar bahawa ramai sebenarnya sudah memiliki nilai-nilai yang diimpikan.

“Kita selalu fikir kita kena jadi rakyat Malaysia yang lebih baik. Tapi lepas buat banyak video, saya belajar yang sebenarnya ramai antara kita dah pun jadi rakyat Malaysia yang kita impikan.

“Kita semua sudi dan ada niat yang baik, cuma kadang-kadang kita biarkan rasa takut menghalang diri. Harapnya, lagi banyak video saya buat, lagi kurang rasa takut supaya sentiasa ada ruang untuk benda-benda baik berlaku sesama kita,” katanya.

Berkongsi mengenai siri Malaysiaku selama 31 hari yang telah dihasilkannya, Shaun berkata, ia adalah kerana dia mahu rasa sendiri keunikan dan keistimewaan setiap budaya di Malaysia.

“Semua orang berkongsi dan mengajar setiap butiran kecil yang saya tanya dan ini buat saya rasa yang saya baru sahaja menyentuh permukaan tentang apa sebenarnya makna menjadi seorang rakyat Malaysia.

“Bagi saya, Malaysia adalah terbaik, budaya terbaik, makanan terbaik, orang terbaik,” katanya yang sebelum ini pernah menuntut di United Kingdom.

Selain meminati budaya masakan, Shaun juga minat menerokai aspek budaya yang lain antaranya mempelajari tarian kaum India, Bharatanatyam.

“Ia tarian yang sangat teliti serta penuh emosi.

“Apa yang boleh saya kongsikan, sepanjang belajar tarian itu, rakan saya sentiasa berusaha keras untuk memastikan setiap langkah saya betul dengan sesi praktis harian,” katanya.

Daripada masakan Melayu hingga penggunaan bahasa Melayu, usaha Shaun menunjukkan bahawa perkara yang dekat dengan kehidupan seharian juga boleh membawa orang ramai bersama.

Mungkin itu yang menarik tentang Malaysia yang mana kita mempunyai begitu banyak perbezaan, tetapi tetap ada banyak perkara yang boleh dikongsi.

Sempena menjelang Hari Kebangsaan, tidak salah untuk kita terus mencari lebih banyak persamaan itu.

Read Entire Article
Pertanian | | | |