[VIDEO] 22 pemimpin GISBH mengaku tak bersalah, 17 Mac depan bicara jaminan

1 month ago 18

SHAH ALAM – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Nasiruddin Mohd. Ali dan isterinya, Azura Md Yusof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak lima tahun lalu.

Nasiruddin, 66 dan Azura, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar.

Turut membuat pengakuan sama anak kepada pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari.

Selain itu, 11 lagi lelaki yang juga pemimpin tertinggi GISBH iaitu Hasnan Abd Hamid, 54, Mohd Shukri Mohd Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd Fazil Md Jasin, 58, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Sementara lapan tertuduh wanita pula ialah Hamimah Yakub, 73, Asmat@ Asmanira Muhammad Ramly, 45, Mahani Kasim, 55, Siti Salmiah Ismail, 58, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29 dan Nur Jannah Omar, 33.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH, di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini, antara Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak mencadangkan sebarang jaminan ekoran kesalahan tersebut berada dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Sekiranya mahu dijamin, kita buat secara prosiding berasingan kecuali Hamimah yang telah mendapat jaminan sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Peguam Datuk Rosli Kamaruddin mewakili 21 tertuduh kecuali Hamimah memaklumkan pihaknya dalam proses melengkapkan kesemua 21 permohonan jaminan.

“Daripada jumlah berkenaan 17 telah difailkan namun belum teratur dengan kami akan memasukkan afidavit seperti sijil kesihatan.

“Manakala, empat lagi permohonan akan difailkan minggu ini. Semuanya akan dilengkapkan dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Turut mewakili 21 pemimpin GISBH berkenaan adalah peguam Muhammad Zaim Rosli, Najib Zakaria, Hasnan Hamzah, Boestaman Ahmad, Mohammad Hafiz Zainol Abidin dan Dorina Abdullah.

Sementara Peguam Kamal Hisham Jaafar mewakili Hamimah. Dua daripada Majlis Peguam iaitu S. Vivekanada dan Aira Amira Anuar menjadi peguam pemerhati.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan ikat jamin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |