SHAH ALAM – Kegiatan sindiket mengupah buruh kontrak warga asing sebanyak RM200 bagi kerja-kerja pemunggahan rokok seludup terbongkar menerusi serbuan di sekitar Sungai Buloh, baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 3.30 pagi pada 18 Oktober yang dilaksanakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Selangor dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang itu berjaya menahan empat lelaki berusia 21 hingga 38 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semasa serbuan didapati berlaku pemunggahan kotak-kotak disyaki mengandungi rokok dari sebuah lori bonded ke beberapa buah kenderaan.
“Siasatan mendapati kesemua suspek itu telah memasuki negara ini sejak 2024 dengan menggunakan permit kerja sebagai buruh kontrak.
“Mereka kerja-kerja itu sebagai sambilan dengan upah dibayar secara harian antara RM100 hingga RM200 bergantung kepada kuantiti barang diuruskan,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurutnya, hasil serbuan itu berjaya merampas 8,727 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM639,470.
Turut dirampas adalah sebuah lori bonded dan tujuh buah kereta termasuk jenis Toyota Vellfire dianggarkan RM374,600.
“Kenderaan yang digunakan bukan milik suspek sebaliknya didaftarkan atas nama individu lain. Suspek utama dikesan memegang kunci kepada salah satu kenderaan tersebut.
“Kediaman sewa yang digunakan sebagai stor dipercayai milik warga tempatan,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya mempercayai bekalan rokok seludup itu diperoleh di sekitar negeri ini.
“Siasatan turut mendapati kumpulan ini bergerak dengan bebas tanpa kaitan dengan mana-mana sindiket lain.
“Suspek juga tidak mengetahui sumber kewangan operasi dan hanya menerima upah berdasarkan kerja dilakukan mereka,” katanya.
Tambah Shazeli, semua suspek direman sehingga hari ini sebelum diserahkan kepada IPD berkaitan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
19

















































