Unit Jenayah Terkelas siasat kes kematian Syamsul Haris

1 hour ago 1

JOHOR BAHRU – Siasatan kes kematian ke atas pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dijalankan Polis Bukit Aman.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan berhubung kes berkenaan telah diambil alih oleh Unit Jenayah Terkelas.

“Siasatan kes ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah diambil alih oleh pasukan ini, bukan disiasat oleh Kontinjen Johor lagi.

“Dari proses siasatan dan apakah langkah langkah seterusnya saya tak dapat nak berikan butiran lengkap kerana ianya di bawah bidang kuasa pihak Bukit Aman,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (ACG) mengarahkan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Keputusan itu dibuat AGC berpandukan laporan siasatan yang dibuka oleh PDRM ke atas kematian Allahyarham Syamsul Haris pada hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, polis sedang mengenalpasti individu yang terbabit atau bertanggungjawab menyebabkan kematian pelatih Palapes terbabit.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |