UMNO tidak pernah ‘mensucikan’ DAP – Asyraf Wajdi

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki tampil menepis dakwaan yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mendakwa UMNO kini ‘mensucikan’ DAP dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.

Dalam satu kenyataan balas yang tegas, beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu fitnah tidak berasas dan enggan melayan kenyataan yang disifatkan sebagai tidak berfakta.

“Malas sebenarnya saya nak komen terhadap fitnah yang tidak berasas seperti ini,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Namun begitu, Asyraf Wajdi memperincikan beberapa penegasan penting yang menafikan dakwaan tersebut termasuklah UMNO tidak pernah keluarkan sebarang ‘fatwa’ mewajibkan ahlinya menyokong DAP.

“UMNO tidak pernah membenarkan ahlinya solat depan pejabat DAP sebagai tanda sokongan, UMNO tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin DAP setinggi maqam Khalifah Umar Abdul Aziz, UMNO tidak pernah angkat bendera DAP.

“UMNO tidak pernah sedikitpun mengurang atau merubah dasar perjuangan hanya untuk memenuhi kehendak DAP, UMNO tidak pernah membenarkan ahlinya bergolek atas jalan raya membantah KDYMM Tuanku Sultan Perak untuk pertahankan Kerajaan DAP,” tegasnya.

Malah, beliau menjelaskan bahawa UMNO mempertahankan dasar Islam, kedudukan Melayu-Bumiputera dan Raja-Raja Melayu dengan mewajibkan semua pemimpin 18 parti termasuk DAP tandatangan perjanjian.

“UMNO bantah dan DAP akur apabila pemimpin DAP, YB Ngeh Ko Ham cadang wakil bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syariah.

“UMNO bantah dan DAP tarik balik cadangan YB Nga Kor Ming untuk menjadikan Kampung Baharu sebagai Tapak Warisan UNESCO yang bertentangan dengan Perkara 153 Kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal,” katanya.

Tegasnya, tiada sebarang dasar Islam mahupun agenda Melayu-Bumiputera yang digadai sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan Madani dibentuk.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan mendakwa gabungan UMNO dan DAP telah ‘mensucikan’ DAP susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning, minggu lalu.

Abdul Hadi turut melabel kemenangan calon BN Yusri Bakir sebagai kejayaan UMNO menubuhkan UmDAP iaitu gabungan UMNO dan DAP.

“UmDAP mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka termasuk beberapa tindakan mempersuci DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam isu ternakan babi secara haram di kawasan majoriti penduduknya Islam dan dipimpin oleh Melayu Islam,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |