Ukraine setuju gencatan senjata 30 hari

7 hours ago 4

JEDDAH – Presiden Volodymyr Zelensky menyatakan semalam bahawa Ukraine menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk melaksanakan gencatan senjata selama 30 hari susulan rundingan damai diadakan antara Washington dan pegawai Kyiv di Arab Saudi.

Saluran berita CNN melaporkan, cadangan tersebut turut merangkumi jeda serangan di barisan hadapan pertempuran dengan Russia, serta tidak hanya tertakluk pada udara dan laut.

“Ukraine menerima cadangan ini, kami menganggapnya positif dan bersedia untuk mengambil langkah sedemikian.

“Amerika mesti meyakinkan Russia untuk berbuat demikian,” kata Zelensky sambil menambah, gencatan senjata akan bermula sejurus Moscow bersetuju dengannya.

Tambah Zelensky, cadangan Ukraine untuk gencatan senjata termasuk keadaan tenang di udara dan laut serta pembebasan tahanan Ukraine.

Kyiv dan Washington selain itu turut bersetuju untuk memuktamadkan perjanjian mineral secepat mungkin bagi mengembangkan ekonomi Ukraine dan menjamin keselamatan jangka panjang.

Dalam satu kenyataan bersama, Washington berkata, ia akan menyambung semula bantuan ketenteraan ke Ukraine dan meneruskan kembali perkongsian risikan. Ia kemudian disahkan oleh seorang pegawai Kyiv.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata sejurus selepas mesyuarat di Jeddah bahawa tanggungjawab kini berada di tangan Moscow untuk mengambil langkah menamatkan perang. 

“Kami berharap mereka akan berkata ‘ya’ untuk keamanan. ‘Bola’ kini berada di gelanggang mereka,” katanya mengenai Russia.

Presiden AS, Donald Trump mengalu-alukan perkembangan itu dan berikrar untuk bercakap dengan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin mengenai rancangan tersebut pada minggu ini. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |