PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak sempat mencoret satu warkah meluahkan perasaannya pada hari keputusan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas prosiding kes sebentar tadi.
Dalam warkah yang ditulis sendiri itu, Najib menyatakan meneruskan perjuangan bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip.
“Saudara dan saudari yang saya hormati. Saya menulis ini dengan fikiran yang tenang, meskipun hati saya berat.
“Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian.
“Namun saya tetap bertekad untuk meneruskannya bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip. Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah, untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab, la adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan, dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar. Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara.
“Sehubungan itu, saya memohon semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan. Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama. Najib Razak”.
Terdahulu bekas Perdana Menteri itu dihukum 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas 25 pertuduhan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bertindak selaku Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas mendengar mitegasi hukuman daripada pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pendakwaan selain mengambil kira kepentingan awam.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara serentak itu bermula selepas Najib menjalani hukuman pemenjaraan dana SRC International Sdn. Bhd.
Sekiranya Najib gagal membayar jumlah denda itu tertuduh boleh dipenjara 40 tahun. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4



![[VIDEO] Lelaki tersepit pintu selepas cuba curi emas RM30,000](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/CURI-RANTAI-TULAR-VIRAL.jpeg)








![[VIDEO] Pulangkan MacBook, pemilik mahu belanja satu keluarga makan seafood](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LAPTOP-TULAR-VIRAL-e1766738174234.jpeg)




































