KUALA LUMPUR – Saudagaar Asia Sdn. Bhd. (Saudagaar Asia) yang terkenal dengan produk makanan kegemaran berasaskan coklat premium berjenama Choco Albab kini mula mengembangkan sayap perniagaannya ke dalam fesyen melalui pelancaran terbaharu koleksi tudung.
Ini adalah langkah awal syarikat yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Said Saiful Fazli Said Aluwi dalam bidang berpotensi tersebut yang sedang merangka pelan untuk memperkenalkan lebih banyak produk seperti tudung bawal eksklusif, shawl, sejadah dan lain-lain yang bakal memenuhi kehendak golongan wanita.
Beliau yang menaruh harapan tinggi terhadap cabang bisnes baharu itu mengunjurkan jualan sehingga RM10 juta tahun depan daripada jualan tudung malah melihat segmen tersebut bakal menyumbang antara 20 hingga 30 peratus kepada jumlah hasil syarikat pada masa depan.

“Syarikat optimis terhadap jualan tudung ini kerana kami menggunakan kekuatan rangkaian pengedar Choco Albab yang kini seramai 100,000 pengedar bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara jiran.
“Tudung ini dijual pada harga RM79, pada hari ini untuk pratempahan sahaja dan orang ramai boleh membelinya mulai minggu hadapan,” katanya.
Beliau berkata pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran koleksi tudung terbaharu itu di sini baru-baru ini.

Said Saiful Fazli menjelaskan, penggunaan nama Nafesa diinspirasikan daripada nama ibunya, Naveesof yang melambangkan kelembutan, ketabahan dan nilai seorang wanita yang begitu berharga.
Diinspirasikan daripada seni bina Istana Alhambra di Granada, Sepanyol syarikat menawarkan koleksi The Alhambra Monogram yang menggunakan fabrik premium satin, lembut, ringan, tidak jarang, mudah dibentuk dan selesa dipakai.
Kualiti kainnya premium, tidak panas, mengikut rekaan timeless tidak mengikut trend semasa, bercetak halus serta ditampilkan dengan warna sesuai untuk wanita Asia. -KOSMO! ONLINE

1 week ago
13

















































