PASIR MAS – Seorang lelaki berperanan sebagai ‘transporter’ yang menerima upah sebanyak RM60 untuk satu perjalanan dicekup di Kampung Kubang Bemban di sini pada Rabu lalu semasa sedang membawa bekalan diesel dengan sebuah lori ke pengkalan haram.
Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.45 pagi ketika memandu sebuah lori jenis Ford Trader yang membawa sebanyak 320 liter diesel di dalam tangki sudah diubah suai.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA yang menjalankan Ops Tiris secara bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengesan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, lori tersebut telah diubah suai dengan tangki tambahan yang mengandungi anggaran 320 liter diesel.
“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat kegiatan penyeludupan diesel ke Thailand melalui pengkalan haram Waji di Nibong dekat sini.
“Lelaki itu dipercayai menerima upah sebanyak RM60 bagi setiap penghantaran diesel ke pengkalan haram sebelum ia diseludup ke Thailand,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori, tangki ubah suai dan diesel dianggarkan bernilai RM84,766.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PGA merampas 10 tong jerikin berisi 180 liter petrol yang ditinggalkan di tepi tiang Jambatan Pulau Ular dekat Tumpat pada hari yang sama.
Menurutnya, kesemua petrol yang bernilai RM696 itu dirampas kira-kira pukul 5 pagi semasa Batalion 9 PGA bersama anggota Strike Force melaksanakan rondaan di kawasan Pengkalan Kubor.
“Siasatan mendapati, kesemua petrol itu akan diseludup ke Thailand melalui laluan yang tidak diwartakan. Tong-tong itu dibawa ke kompeni taktikal PGA Pengkalan Kubor untuk tujuan dokumentasi,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4













![[VIDEO] ‘Di kala PMX pesan jimat cermat, open house tetap on’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/jalan-sesak.jpeg)
![[VIDEO] ‘Terima kasih pinjamkan Amirul Ashraf’, bapa setia hingga ke liang lahad](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/lemas.jpeg)


































