SEJAK ditubuhkan pada 2019, nama kumpulan Dolla tidak pernah sepi daripada dihimpit pelbagai kontroversi lebih-lebih lagi berkaitan hal pemakaian yang dianggap ‘tidak cukup kain’.
Kali ini, isu menjadi lebih besar apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memaklumkan selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata di depan khalayak ramai, boleh dikenakan tindakan bawah undang-undang jenayah syariah.
Mohd. Naim juga meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Wilayah Persekutuan menyemak semula garis panduan sedia ada berkaitan aspek pemakaian selebriti beragama Islam.
Ceritanya, isu tersebut bermula selepas pendakwah Ustazah Asma’ Harun secara terbuka menegur mengenai video muzik terbaharu trio terbabit berjudul Question yang dianggap keterlaluan.
Tidak menunggu lama, syarikat rakaman Dolla iaitu Universal Music Malaysia serta-merta bertindak menurunkan video muzik tersebut.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan dibuat selepas meneliti semula seluruh kandungan produksi serta maklum balas ramai.
“Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan.
“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan menurunkan video muzik tersebut adalah langkah wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Universal Music Malaysia juga menegaskan pihaknya komited memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan yang lebih ketat, melibatkan perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sebegini berulang.
Pendakwah selebriti Imam Muda Asyraf turut menyambut baik tindakan berkenaan, namun berharap pelaksanaan harus dilakukan secara teliti agar tidak melanggar hak privasi mana-mana pihak.
“Kalau nak laksana, pihak kerajaan perlu teliti sebab dalam pelaksanaan sebegini, pasti dilakukan secara berperingkat.
“Nak suruh orang tutup terus pun mungkin ada peringkat-peringkat tertentu dan kita faham. Tak semudah yang mungkin kita boleh cakap.
“Insya-Allah kita doakan yang terbaik semoga pelaksanaan tindakan untuk meletakkan prosedur operasi standard (SOP) itu berlaku dengan baik,” katanya.
Melihat ramai yang melemparkan pelbagai respons mengenai cadangan pihak kerajaan, dia berkata, segala persoalan orang ramai hanya boleh terjawab selepas garis panduan mengenai isu tersebut diumumkan.
“Cumanya sekarang kita berbincang tentang isu negara yang nak menetapkan satu undang-undang, menetapkan sesuatu yang bila kita panggil sebagai ruang awam.
“Berbincang tentang hak peribadi dan adakah kita ingin menjadi polis syariah? Ini persoalan-persoalan yang selalu orang bincanglah.
“Jadi mungkin kalau kerajaan nak buat garis panduan, saya rasa bagus. Kita menunggu juga garis panduan yang lebih objektif, mudah difahami dan ada sukatan kadarnya.
“Cuma dari segi pelaksanaannya itu, saya serah pada pelaksana undang-undang sebab memang ada peruntukan Undang-undang Jenayah Syariah mengenai etika pemakaian dan sebagainya,” katanya lagi.
Selain itu, peminat juga mencadangkan agar Dolla melebarkan sayap ke luar negara bagi memastikan potensi kumpulan itu tidak terbantut akibat kritikan masyarakat tempatan.
Selepas keputusan menurunkan video muzik di semua platform digital, ramai yang memuji tindakan kumpulan wanita itu termasuk Ustazah Asma’ dan Mohd. Naim.
“Terima kasih kerana memilih jalan yang menghormati sensitiviti masyarakat dan imej negara.
“Keputusan ini bukan mudah, namun syarikat memilih mendengar suara ramai dan bertindak dengan penuh integriti.
“Tindakan ini mencerminkan profesionalisme, kematangan dan rasa hormat terhadap sensitiviti masyarakat serta nilai negara,” kata Ustazah Asma’.
Benar kata Ustazah Asma’, keputusan untuk menurunkan video muzik sememangnya tidak mudah memandangkan segala penat lelah ditaburkan sepanjang proses pembikinan lagu tersebut.
Namun, pujian harus diberikan kepada Dolla dan syarikat rakamannya yang sanggup menurunkan ego, sekali gus menunjukkan kepekaan terhadap komen dibangkitkan.
Bagaimanapun, diharapkan isu ini bukan sahaja tertumpu kepada kumpulan Dolla, malah terhadap selebriti wanita lain yang sering menggayakan pakaian mencolok mata lebih-lebih lagi semasa acara pertunjukkan fesyen.
Jangan hanya tunding salah kepada satu pihak tetapi yang lain diabaikan semata-mata disebabkan isu sedang panas.
Diharapkan selebriti lain juga terus peka dengan cara pemakaian terutama apabila perlu berhadapan khalayak mahupun semasa muncul di mana-mana platform.
Buat Sabronzo, Tabby dan Angel, dengarlah teguran kerana ramai sayangkan kalian. Jika lagu kalian sememangnya bagus cukup-cukuplah menggunakan ‘seksi’ sebagai modal memancing mata khalayak.

1 week ago
13










![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)






![[VIDEO] Positif dadah, pemandu lori lawan arus 150 km ditahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/lori-lawan-arus.jpeg)

![[VIDEO] ‘Bukan pandang belakang kak, pandang depan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/konvo-utim.jpeg)





























