Tipu konon akaun keldai, sindiket NSRC palsu lesap duit mangsa

5 hours ago 4

PETALING JAYA – Seorang individu menjadi mangsa penipuan selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai National Scam Response Centre (NSRC) dan polis, sehingga menyebabkan wang dalam akaun dikeluarkan tanpa kebenaran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 24 Disember 2025.

Beliau berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai NSRC.
“Wanita terbabit memaklumkan nombor telefon mangsa kononnya telah disalahgunakan bagi tujuan penyebaran pautan bantuan kewangan kerajaan sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis.

“Individu yang menyamar sebagai pegawai polis itu mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan mengaitkan nama mangsa sebagai pemilik akaun keldai selepas penahanan seorang individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada 4 Disember 2025, mangsa diarahkan supaya meletakkan kad ATM miliknya di suatu lokasi untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan siasatan, selain turut diminta memberikan nombor pengenalan peribadi kad berkenaan.

“Selepas itu, mangsa menyedari wang dalam akaunnya telah berkurangan dan dikeluarkan secara berperingkat tanpa pengetahuan serta kebenarannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata NSRC yang ditubuhkan pada Oktober 2022 beroperasi sebagai pusat panggilan komunikasi sehala dan hanya menerima panggilan daripada orang awam.

“NSRC tidak akan menghubungi individu melalui telefon atau menggunakan aplikasi pesanan seperti WhatsApp. Sebarang panggilan atau mesej yang mengaku mewakili NSRC adalah penipuan,” ujarnya.

Tambahnya, PDRM tidak menjalankan siasatan hanya melalui panggilan telefon, sebaliknya individu terlibat akan dipanggil hadir ke pejabat pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali serta segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki diri menjadi mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |