KUALA LUMPUR – Hampir 70 peratus ibu bapa di ASEAN masih tidak menyedari risiko digital dihadapi anak-anak yang mana cabaran tersebut bukan sahaja antarabangsa dan rentas sempadan, tetapi di dalam rumah, sekolah dan komuniti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, bagi melindungi golongan kanak-kanak dalam dunia digital ini, ASEAN mesti mengukuhkan asas dengan kerjasama praktikal berimpak tinggi.
“Tetapi asas sahaja tidak mencukupi, kita mesti bergerak lebih jauh dan lebih cepat. Bahaya dalam talian tidak mengenal sempadan. Seorang pemangsa tidak memerlukan pasport. Sebuah video berbahaya tidak berhenti di imigresen. Satu hantaran berbahaya boleh sampai ke-11 negara ASEAN dalam beberapa minit. Inilah sebabnya tindakan kolektif ASEAN bukan sahaja penting, bahkan ia adalah mustahak,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pembukaan Forum ICT ASEAN Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak 2025 dan Peluncuran Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara di sini hari ini.
Beliau berkata, di seluruh rantau ASEAN turut memperlihatkan tanda amaran dengan di Singapura misalnya, 74 peratus pengguna internet berusia 15 tahun ke atas melaporkan menemui kandungan berbahaya dalam talian pada 2024.
“Di Malaysia pula, satu tinjauan menunjukkan sekitar 33 peratus anak muda menjadi mangsa buli siber. Angka-angka ini lebih daripada sekadar nombor.
“Ia isyarat bahawa jaring keselamatan sedia ada semakin teruji. Kecerdasan buatan kini membolehkan pemangsa meniru suara, mencipta imej ‘deepfake’, memanipulasi identiti kanak-kanak semuanya dari sebalik skrin, tanpa perlu berada dalam bilik yang sama,” katanya.
Beliau berkata, dalam masa sama, berdasarkan rekod Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menunjukkan sekitar 9,000 aduan buli siber pada 2024 iaitu purata 27 kes sehari.
“Walaupun statistik negara berbeza, di rantau ASEAN kekurangan kesedaran dan data terus menjadi cabaran besar.
“Ramai ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar masih tidak mendapat gambaran penuh tentang apa dihadapi kanak-kanak dalam talian dan bahaya rentas sempadan terus menyukarkan penguatkuasaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, justeru Malaysia mencadangkan tiga keutamaan serantau merangkumi Rangkaian Pertukaran Maklumat Perlindungan Kanak-kanak ASEAN menerusi mekanisme komunikasi rentas sempadan untuk amaran lebih pantas, perkongsian data dan tindak balas terkoordinasi terhadap ancaman dalam talian yang melibatkan kanak-kanak.
“Kedua, Protokol Forensik Digital Serantau bagi mempercepatkan siasatan, memperkemas pertukaran bukti dan memastikan pemangsa tidak boleh bersembunyi di sebalik jurang bidang kuasa.
“Seterusnya, Kurikulum Jagaan Digital ASEAN modul bersama untuk sekolah bagi membina daya tahan digital, etika dan kemahiran keselamatan dalam talian dari peringkat awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

20 hours ago
5














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































