Tiga syarikat perlombongan bijih timah tidak patuh kelulusan

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Tiga syarikat terlibat perlombongan bijih timah dikenakan Perintah Penggantungan Operasi Sementara ekoran tidak mematuhi Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM).

Perintah penggantungan itu dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) terhadap Asiatic Mine Sdn. Bhd. / Nalidah Tin Mine Sdn. Bhd.; Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. dan Rare Earth Carbonate (REC), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak / MCRE Resources Sdn. Bhd.

NRES dalam kenyataan menjelaskan, ini susulan hasil pemeriksaan serta pensampelan kualiti air oleh JMG di beberapa kawasan perlombongan di Hulu Perak berikutan aduan pencemaran Sungai Rui, Sungai Kijang, Sungai Kepayang dan Sungai Perak.

“Hasil siasatan mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat ditetapkan oleh jabatan berkenaan pelepasan efluen, kawalan hakisan dan sedimen serta pengurusan penggunaan bahan kimia.

“JMG menguatkuasakan Perintah Penggantungan Sementara Operasi Perlombongan kepada beberapa pengusaha lombong selaras dengan kuasa diperuntukkan Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525], sehingga semua langkah pembetulan dan penambahbaikan teknikal dilaksanakan serta disahkan oleh jabatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kementerian menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan semua aktiviti perlombongan di Malaysia termasuk perlombongan bijih timah dan unsur nadir bumi dilaksanakan secara bertanggungjawab, mampan dan beretika.

Ia juga selaras dengan peruntukan perundangan yang mengawal selia aktiviti industri mineral dari peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

“Dalam usaha memastikan industri mineral negara lestari dan berintegriti, kerajaan dalam tindakan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu bagi mengawal selia aktiviti industri mineral, selaras dengan prinsip ‘Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus’ sebagai asas amalan perlombongan moden.

“Dari sudut alam sekitar, NRES dan JMG tidak berkompromi terhadap pelepasan efluen tidak dirawat. Pengendalian bahan kimia mesti selamat dan terkawal serta kawalan hakisan, sedimen dan pemantauan kualiti air perlu berfungsi sepenuhnya,” kata NRES.

Selain itu, keselamatan komuniti dan pekerja menjadi keutamaan melalui komunikasi risiko yang jelas dan pematuhan ketat tatacara keselamatan.

“Semua operator wajib mematuhi syarat-syarat kelulusan lesen dan permit berkaitan seperti SKSPM serta pematuhan terhadap Akta 525 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Bahan-bahan kimia digunakan dalam industri mineral perlu dikendalikan mengikut tatacara dan amalan yang diluluskan dan perawatan efluen adalah diwajibkan sehingga mematuhi had yang dibenarkan sebelum memasuki sistem aliran setempat,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |