KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengingatkan orang ramai terutama bakal haji untuk berjaga-jaga dengan tawaran pakej visa mujamalah atau furada.
Katanya, dalam keterujaan rakyat Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima tu, akan wujud cubaan penipuan oleh syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab.
“Kira-kira tiga bulan dari sekarang akan bermula musim haji bagi tahun Hijrah 1446 atau 2025 Masihi. Dalam tempoh itu, pihak polis percaya akan wujud cubaan penipuan bagi memperdagangkan visa haji furada atau visa mujamalah sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
“Berdasarkan rekod, sejumlah 44 kes penipuan haji dan umrah telah disiasat sepanjang tahun 2024 melibatkan nilai kerugian RM890,810.53. Manakala, bagi tahun 2025 sehingga 2 Februari sejumlah 17 kes telah direkodkan dengan nilai kerugian RM364,620 sepanjang lima minggu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Menurut Ramli, visa furada dan visa mujamalah merujuk kepada visa yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan melibatkan kumpulan tertentu sahaja.
“Visa ini bagaimanapun dikeluarkan hanya untuk orang atau kumpulan tertentu sahaja dan tidak berkaitan dengan kuota haji rasmi yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.
“Namun visa sebegini amat terhad, mahal dan hanya boleh dilakukan ketika saat-saat akhir kerana ia tertakluk kepada keputusan Arab Saudi. Dia (kerajaan Arab Saudi) pun tengok keadaan di sana dan sebagainya, baru dia beri pertimbangan,” ujarnya,
Jelasnya, ketidakpastian inilah yang secara tidak langsung membuka peluang kepada sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan.
“Maka untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, individu yang ingin mendapatkan visa furada atau mujamalah ini adalah dinasihatkan untuk berurusan dengan agensi yang dipercayai sahaja seperti Lembaga Tabung Haji,” jelasnya.
Tambahnya, sebarang janji-janji manis bahawa visa akan diberikan di Arab Saudi adalah palsu semata-mata.
“Itu tidak akan berlaku. Kita tak nak orang bersimpuh di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) menunggu kononnya penerbangan yang seterusnya.
“Kenduri telah dibuat di kampung. Nak balik ke kampung pun satu perasaan malu dan telah ditipu di sini. Di sini pun duduk di atas lantai KLIA menunggu khabar baik.
“Jadi lebih baik kita pastikan terlebih dahulu visa diperoleh sebelum kita mengambil risiko akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE