PETALING JAYA – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun didakwa menjadi mangsa buli sejak tingkatan satu sehingga terpaksa berhenti sekolah tahun lalu kerana tidak lagi sanggup menanggung penghinaan daripada rakan dan guru.
Kisah menyayat hati itu dikongsi aktivis sosial, Afiq Noordin menerusi hantaran di Facebooknya yang mendedahkan penderitaan pelajar dikenali sebagai Hakifays yang bukan sahaja dibuli rakan, malah turut dijadikan bahan jenaka oleh guru sendiri.
Afiq berkata, Hakifays diejek kerana fizikalnya serta latar belakang keluarganya, termasuk keadaan bapanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan berkerusi roda. “Hakifays diejek kerana fizikalnya. Dikata gemuk, selekeh dan berbau. Tudungnya pernah ditarik hingga koyak. Namun penghinaan itu tidak berhenti di situ.
“Ayahnya yang OKU turut dijadikan bahan ejekan. Mereka menghina tempat tinggalnya, merendahkan keluarganya dan memperlekeh keadaan mereka,” katanya.
Lebih menyedihkan, pelajar aliran Pendidikan Seni Visual (PSV) itu dikatakan pernah menjadi bahan ketawa di dalam kelas apabila seorang guru sendiri turut mempersendakannya di hadapan rakan-rakan.
“Sebelum berhenti, Hakifays tidak hadir ke sekolah selama sebulan.
“Dia cuba mencari semangat untuk kembali, tapi setiap kali teringat wajah-wajah yang menghina dan ketawa dirinya serta memperlekeh ayahnya, dia hilang kekuatan untuk melangkah semula,” katanya.
Katanya, selepas berhenti sekolah, Hakifays ada maklumkan pada ibu dan gurunya yang dia tetap akan belajar sendiri untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun permohonannya ditolak begitu sahaja.
“Saya ada minta tolong cikgu untuk mohon, cikgu kata nanti dia uruskan. Bila saya tanya semula, cikgu tu kata tak boleh dah sebab dah penuh,” katanya.
Difahamkan, cubaan keluarga untuk membuat laporan polis pernah dihalang dengan alasan pihak sekolah akan menguruskan sendiri kes berkenaan.
Bagaimanapun, isu ini kini sudah berada dalam pengetahuan Ketua Pengarah Pendidikan serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk disiasat secara telus.
“Saya tidak menuduh, saya menyeru kepada siasatan. Jika benar tiada salah, biarlah siasatan itu membersihkan nama semua pihak. Tetapi jika sebaliknya, biarlah kebenaran ditegakkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
18

















































