Tiada provokasi penduduk di lokasi perobohan pangkalan haram

15 hours ago 4

TUMPAT – Tiada sebarang provokasi dilakukan oleh penduduk setempat susulan perobohan jeti di pangkalan haram MCA dan Gergaji di Rantau Panjang dekat sini pada Selasa lalu.

Pemangku Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang tanda yang menunjukkan penduduk setempat tidak berpuas hati dengan tindakan untuk merobohkan pangkalan haram.

Menurutnya, sehubungan itu, kerja-kerja merobohkan dua pangkalan haram itu dan jeti lain di kawasan Rantau Panjang selepas ini dilihat berjalan dengan lancar.”Tiada sebarang provokasi dilakukan oleh penduduk setempat semasa kerja-kerja merobohkan pangkalan haram dijalankan. Mungkin penduduk di kawasan itu tidak mempunyai kaitan dengan pangkalan haram tersebut.

“Sesetengah golongan seperti sindiket penyeludupan mungkin terkesan dan tidak berpuas hati dengan tindakan perobohan, namun tiada sebarang tindakan melibatkan kekerasan berlaku di kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Pemerintah Batalion 7 kepada Batalion 8 di markas taktikal PGA di Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ijid Landu memberitahu, masih terlalu awal untuk melihat kesan perobohan pangkalan haram apabila kawasan tersebut tidak sampai seminggu dirobohkan.

Menurutnya, bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa dalam mengekang dan menyukarkan kegiatan penyeludupan di Sungai Golok selepas pangkalan haram dirobohkan.

“PGA terus memperketatkan kawalan di pangkalan haram MCA dan Gergaji yang sudah dirobohka bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan tidak berulang. Hasil pemantauan yang dijalankan oleh anggota bertugas mendapati, kedua-dua lokasi itu dilihat sudah tidak aktif,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerja-kerja perobohan 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand yang dikesan menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat bermula Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA di Rantau Panjang menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa dua bulan.

Katanya, semakan mendapati sebanyak 216 daripada 223 jeti haram bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli itu dibina atas tanah kerajaan.

“Baki tujuh struktur binaan dibuat atas tanah milik persendirian. Perkara ini sudah hampir setahun saya maklumkan dan masyarakat faham tujuan sebenar tindakan perobohan dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |