Tendang, simbah peluntur berang tak bayar hutang RM150,000

1 week ago 18

BATU PAHAT – Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan serta melakukan khianat dengan menyimbah peluntur terhadap lelaki selepas berang tidak melunaskan hutang berjumlah RM150,000, awal bulan ini.

Tertuduh, Eyu Ah Ming@Ee Chin Chang, 78, membuat pengakuan itu sebaik kedua-dua pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak didakwa dengan niat menyimbah peluntur ke atas baju lelaki berusia 43 tahun di hadapan sebuah kedai haiwan di Taman Flora Utama, di sini, pada pukul 3.50 petang, 4 November lalu.

Kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Untuk pertuduhan kedua, pekerja kebun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama. Semua kejadian berlaku pada tarikh, lokasi dan waktu sama.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ke tempat kerja mangsa dalam keadaan marah kerana mahu menuntut hutang berjumlah RM150,000.

Namun, mangsa memberitahu dia tidak pernah berhutang dengan tertuduh yang menyebabkan lelaki itu naik angin lalu menendang serta menyimbah peluntur ke arah mangsa.

Kejadian itu turut disaksikan beberapa individu selain dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Kamarulariffin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi kedua-dua kesalahan serta memerintahkannya dipenjara dua bulan jika gagal membayar.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda dikenakan terhadapnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |