Tauke kilang ais curi air AKSB didenda RM50,000

1 week ago 16
Mohamad Yusrid (kanan) semasa tiba untuk didakwa atas pertuduhan melakukan penyambungan paip air tanpa kebenaran AKSB di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!
  • Oleh ROHANA MOHD. NAWI
  • 17 November 2025, 12:24 pm

KOTA BHARU – Seorang pemilik kilang ais didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penyambungan paip air tanpa kebenaran Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, tujuh tahun lalu.

Hukuman itu ditetapkan kepada Mohamad Yusrid Mohd. Yusof, 33, selaku orang kena saman (OKS) selepas membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, OKS sebagai penghuni di sebuah tapak kilang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan membuat sambungan ke paip air tanpa kebenaran pemegang lesen iaitu AKSB. Perbuatan itu dilakukan di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini pada 7 Jun 2018.
Mohamad Yusrid didakwa mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 123(3) akta sama yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suhaidariah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut Suhaidariah, OKS yang merupakan pemilik tunggal kilang berkenaan melakukan penyambungan haram itu selama 17 bulan sehingga menyebabkan AKSB menanggung kerugian lebih RM41,000.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM50,000 kepada OKS selain penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar jumlah tersebut dan lelaki itu membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |