Tak puas nikmati keindahan Chengdu, makanan halal pun mudah

6 hours ago 3

KEINDAHAN alam di tempat pergunungan tinggi menjadi destinasi pelancongan impian ramai orang.

Penulis dan keluarga kali ini memilih untuk menjadikan Chengdu di wilayah Sichuan, China sebagai destinasi pelancongan keluarga.

Menjejakkan kaki ke Chengdu bermakna anda juga wajib ke bandar Dujiangyan yang terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari bandar Chengdu. Tidak ketinggalan, terdapat empat destinasi pergunungan berhampiran Chengdu yang wajib dilawati iaitu Bipenggou, Siguniang, Xiling Snow Mountain dan taman negara Jiuzhaigou.

Memandangkan kami bercuti ke Chengdu ketika musim panas, Bipenggou dan Siguniang menjadi pilihan kami kerana suasana yang bersesuaian dengan musim. Xiling Snow Mountain sesuai dilawati ketika musim sejuk dan kurang berbaloi jika di musim lain.

Menariknya, terdapat komuniti Muslim yang hidup turun-temurun di Chengdu, memudahkan pencarian makanan halal semasa kami di sana. Pemilihan lokasi penginapan berhampiran dengan masjid ketika di bandar

Dujiangyan dan bandar raya Chengdu amat penting kerana banyak pilihan restoran halal berada dalam lingkungan 1km radius dari masjid.

Dengan kewujudan restoran halal yang mudah dicari di kedua-dua bandar ini, ia memudahkan banyak perkara untuk kami sekeluarga, khususnya anak-anak. Kami tidak perlu bersusah payah memikirkan makanan sedia dimakan yang perlu dibawa dan bagasi tidak diberatkan dengan makanan semata-mata.

Paling utama, Chengdu mempunyai pakej istimewa eksklusif yang tidak akan didapati di lokasi pelancongan lain iaitu haiwan panda dan red panda.

Pemandangan Yanziyan di kawasan pergunungan Bipenggou di Chengdu, China yang memukau dengan keindahan alam semula jadinya.

Setiba di lapangan terbang antarabangsa Tianfu di Chengdu, kami terus ke Dujiangyan menggunakan perkhidmatan kereta persendirian kerana kami tiba lewat malam iaitu pukul 1 pagi. Penginapan kami di Dujiangyan terletak 350 meter (m) dari masjid dan kedua-dua hotel dan masjid terletak secara strategik betul-betul di tengah kota lama Guanxian Ancient City yang wujud sejak zaman Dinasti Qin.

Jambatan Nan Qiao dan Jambatan Tianfuyuan sangat berhampiran dengan penginapan kami, menjadi lokasi menarik untuk kami kunjungi sebanyak dua kali, sekali di waktu tengah hari dan sekali lagi di waktu malam, bagi merasai keindahan dua suasana berbeza di situ.

Seterusnya kami ke Yangtianwo Plaza untuk bergambar dengan monumen panda besar yang sedang berbaring. Kemudian singgah di kedai buku Zhongshuhe di Sunac Mall yang tular kerana hiasan reka bentuk dalaman yang sangat menakjubkan.

Keesokannya kami menghabiskan masa melihat panda di Panda Valley Dujiangyan. Pengalaman melihat panda dan red panda di depan mata sangat mengujakan kami khususnya anak-anak.

Kami tiba di lokasi seawal 7.30 pagi kerana hasil bacaan pengalaman pengunjung lain di internet dan media sosial, panda aktif pada waktu pagi, sekitar pukul 8.30 pagi hingga 10 pagi.

Pada ketika itu, ada lebih kurang sembilan ekor panda di sepanjang ‘kandang’ terbuka. Kebetulan ketika itu adalah waktu diberi makan, maka dapatlah kami lihat aksi-aksi haiwan itu yang menghiburkan.

Usai melihat kedua-dua haiwan ekslusif China ini hampir tiga jam, kami bergerak ke Bipenggou. Perjalanan dari Dujiangyan ke Bipenggou mengambil masa lebih kurang empat jam, namun pemandangan di kiri dan kanan sepanjang perjalanan amat indah.

Bamboo
Fountain di Chengdu City menampilkan struktur buluh futuristik yang dihiasi cahaya LED dan limpahan
air.

Di Bipenggou, perjalanan di sepanjang lembah pergunungan sejauh 35km dipermudah dengan perkhidmatan bas henti-henti. Anda boleh memilih untuk turun di setiap hentian lokasi tarikan atau boleh terus ke Shanghaizi (hentian bas paling akhir). Dari Shanghaizi untuk ke Pangyanhu dan kemudian ke Yanziyan (lokasi tarikan paling hujung) kami gunakan perkhidmatan buggy elektrik yang memerlukan bayaran tambahan.

Di sinilah pemandangan seumpama Alps di Switzerland dan Dolomites di Itali dapat dilihat. Dengan tasik semula jadi yang jernih dari punca aliran air pergunungan, dikelilingi pasak gunung-ganang yang dipenuhi pokok menghijau dan semakin memutih di puncak, pastinya memukau jiwa.

Sungai deras yang jernih dan tidak henti mengalir, mendatangkan tanda tanya, dari manakah begitu banyak air ini datang? Berkali-kali terlintas di fikiran betapa Maha Besarnya Tuhan yang menciptakan semua keindahan alam ini.

Selesai di Bipenggou, kami bergerak ke Siguniang Sesampai di pekan Siguniang, kami singgah di satu-satunya restoran halal di situ. Pekan ini sendiri terletak di ketinggian sekitar 3200m dari aras laut.

Keesokannya kami lawati Lembah Shuangqiao di Siguniang. Berbeza dari Bipenggou, perkhidmatan bas di Siguniang membawa kesemua pengunjung terus ke lokasi paling atas dan selepas selesai menikmati keindahan di situ, boleh turun ke hentian-hentian lain menggunakan bas henti-henti.

Walaupun ketika musim panas, suhu di Siguniang ketika waktu pagi amat sejuk, sekitar 5 hingga 8 Celsius. Mujur kami sekeluarga bawa baju musim sejuk lengkap berserta sarung tangan, pemanas telinga dan skaf leher. Pad pemanas juga kami sempat beli di Daiso Malaysia sebelum ke Chengdu.

Suasana dan pemandangan di Siguniang lebih kurang sama seperti Bipenggou tetapi ada sedikit kelainan, ada kediaman masyarakat asal berbangsa Tibet di situ. Jadi, kami dapat melihat budaya dan bentuk kediaman mereka.
Lembu yak bergerak bebas di sekitar Siguniang. Kami dapat melihat secara dekat tanpa ada pagar atau penghadang. Ia tidak mengganggu manusia, namun sebagai langkah berjaga-jaga, kami tidak benarkan anak-anak kami mendekati haiwan tersebut. Saiznya lebih besar berbanding kerbau di Malaysia.

Selesai mengunjungi Siguniang, kami bergerak ke bandar Chengdu yang mengambil masa perjalanan lebih empat jam. Setibanya di bandar Chengdu, kami menuju ke kawasan Masjid Huangcheng untuk makan malam. Ada tujuh pilihan restoran halal untuk menjamu selera, yang menawarkan menu berbeza.

Ada restoran mi tarik, hotpot stimbot, makanan berlauk asli Sichuan dan pelbagai lagi.
Setelah berehat semalaman, keesokannya kami mula melawat tempat-tempat menarik di bandar Chengdu.

Kami bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam. Pas satu hari untuk perkhidmatan tren metro menjadi nadi penting kepada kami dan untungnya kanak-kanak bawah 130 sentimeter boleh menaiki tren secara percuma.

Perjalanan pada hari itu bermula dengan melawat Kuan Zhai Alley, singgah ke masjid Huangcheng untuk makan tengah hari dan kemudian ke Jinli Ancient Street selepas makan dan solat. Kuan Zhai dan Jinli adalah tempat beli-belah terbuka bertema reka bentuk bangunan bandar lama.

Apabila malam menjelma, perjalanan diteruskan ke Chengdu Twin Towers di Financial City dengan menaiki tren. Pertunjukan lampu LED pada kedua bangunan berkembar amat menarik.

Sesudah puas bergambar di sana, perjalanan diteruskan lagi ke destinasi terakhir untuk hari tersebut iaitu Bamboo Fountain dengan menaiki tren. Ia terletak di atas pusat beli-belah SKP.

Bertemakan konsep buluh yang bertukar-tukar warna lampu LED dan limpahan air terjun dari setiap ulas buluh, menjadikan ia lokasi ikonik untuk bergambar. Sesuai dengan tema panda, buluh yang sememangnya makanan ruji panda dijadikan sebagai tarikan futuristik. Ini adalah lokasi tarikan yang wajib dilawati.

Selepas makan malam, kami pulang ke tempat penginapan dan mengemas bagasi, memandangkan esoknya kami perlu pulang ke Malaysia. Terasa masih belum puas menikmati keindahan alam semula jadi dan lokasi bersejarah di Chengdu.

Jika ada rezeki, insya-Allah kami akan ke sini lagi di lain waktu pada musim sejuk. Saya doakan semua pembaca diberi rezeki melancong ke Chengdu suatu hari nanti.

Read Entire Article
Pertanian | | | |