KUALA LUMPUR – Bukan menghilang selepas terpalit kontroversi, penyanyi Aliff Aziz sebaliknya memilih menjalani hidup tenang dan pandang ke depan.
Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 34, berkata, dia percaya dengan rezeki kurniaan Ilahi, sekali gus yakin jalan masih terbentang luas untuknya.
“Saya tidak menghilangkan diri, cuma sekarang saya lebih percaya pada rezeki dan apa yang Allah dah susun untuk saya. Apa yang sudah berlaku dan akan berlaku.
“Daripada terlalu stres memikirkan masa depan atau rezeki ada di mana, lebih baik saya teruskan hidup dengan tenang.
“Paling penting, setiap hari kita melangkah ke depan, ‘one foot forward’, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Havoc Trio Festival 2025 di World Trade Centre (WTC), hari ini.
Tambah selebriti asal Singapura itu, selepas berdepan pelbagai kontroversi, dia meluangkan masa bersama keluarga dan banyak muhasabah diri.
“Saya banyak luangkan masa dengan famili, refleksi diri dan fikir tentang kehidupan. Tapi saya tak mahu ulas panjang fasal perkara lepas.
“Fokus saya sekarang adalah untuk maju ke depan. Kita dah hampir masuk 2026, insya-Allah. Saya lebih tumpukan pada langkah yang sedang dirancang dan apa yang saya nak capai tahun depan,” ujarnya.
Kata juara GegarVaganza musim ke-9 (GV9) itu lagi, dia enggan lagi menoleh ke belakang, selain ingin menjadikan setiap hari sebagai peluang baharu dalam memperbaiki diri serta karier.
“Saya tak nak pandang ke belakang. Bagi saya itu tak sihat dan tak perlu pun nak ulang-ulang kenangan lama. Apa yang dah berlaku, biarlah berlalu,” katanya.
Menurut Aliff lagi, meski tidak kerap muncul di televisyen, dia masih aktif menerima tawaran persembahan dan nyanyian termasuk di majlis korporat.
“Saya ulang-alik antara Malaysia dan Singapura. Alhamdulillah, setakat ini masih ada tawaran menyanyi di acara korporat, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Ditanya pula hubungan dengan dua anaknya, lelaki berstatus bapa tunggal itu lebih selesa tidak mengulas perkara yang dianggap terlalu peribadi.
Begitu juga dengan pertanyaan mengenai bekas isterinya, Bella Astillah kerana bimbang sebarang maklum balas disalah tafsir sehingga mencetuskan isu.
“Saya doakan yang baik-baik untuk semua orang. Semoga yang baik-baik juga berbalik kepada diri kita. Macam saya cakap, untuk berkata lebih soal peribadi mungkin tidak,” ujarnya.
Terdahulu, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella Astillah pada 9 September 2016 dan berpisah pada 13 Jun 2024.
Mereka pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula ketika masih dalam tempoh idah.
Hasil perkongsian hidup, pasangan terbabit dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Mengenai pembabitan di Havoc Trio Festival 2025, penyanyi juga pelakon terbabit akan turut serta dalam festival yang akan berlangsung di WTC Kuala Lumpur pada 4 hingga 7 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3








![[VIDEO] ‘Siapa kawan dia, pemalas masak telur kicap je’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/telur-kicap.jpeg)








































