IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur pihak yang enggan menerima teguran serta tidak berani bertindak dalam menangani isu kemanusiaan yang dilihat semakin serius dalam kalangan masyarakat hari ini.
Baginda bertitah, negara dan masyarakat kebelakangan ini dikejutkan dengan peristiwa-peristiwa hitam yang berlaku dalam alam persekolahan seperti buli, keganasan, rogol, kematian dan pembunuhan yang dilakukan oleh mereka berusia di bawah usia 17 tahun.
Menurut baginda, ia merupakan cerminan kegagalan pendidikan dalam memenuhi peranan membentuk nilai kemanusiaan, akibatnya berlaku krisis jiwa dan gangguan emosi.
“Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak, kini terdedah kepada pelbagai suasana yang mengancam keselamatan. Krisis kemanusiaan sedang berlaku di tempat yang paling selamat buat anak-anak.
“Krisis yang berlaku hari ini tidak adil dipolemikkan dan dipolitikkan untuk mempersalahkan kepimpinan semasa,” titah baginda pada Sambutan Bulan Integriti Nasional Tahun 2025 di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, isu-isu sedemikian telah berlaku sejak sekian lamanya disebabkan kealpaan untuk menanganinya dari peringkat awal secara efektif.
“Secara jujur, secara ikhlas kita hendaklah berani mengakui bahawa sel-sel barah yang telah tumbuh membesar hingga ke tahap kritikal, bermula dengan sel kecil, berhimpun secara kumulatif untuk sekian lamanya, mungkin disebabkan kealpaan kita mencegah di peringkat awal secara berkesan, secara bersungguh.
“Sifat penafian yang berterusan dan sifat tidak berani mengakui kesilapan, ditambah dengan sifat ego tidak senang menerima teguran dan enggan berubah, di samping sifat kompromi dan kurang berani bertindak tegas melakukan pembetulan, merupakan penyebab yang telah menyuburkan sel barah boleh terus merebak.
“Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub memberi fokus untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) berbentuk kuantitatif, pada harga mengorbankan komponen kualitatif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
5











![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)






![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)





























