KUALA LUMPUR – Adik kepada pelakon sensasi Emma Maembong iaitu Chacha menyifatkan fitnah berleluasa tentang kakaknya sudah berkahwin dengan deejay kelab malam sebagai satu percubaan menjatuhkan reputasi.
Enggan melayan hal remeh, Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aishah Ismail, 28, berkata, Emma memilih pendekatan mendiamkan diri kerana enggan menarik perhatian netizen.
“Tiada sebab nak keluarkan kenyataan. Kami memang tak gemarkan perhatian. Buat apa bagi maklum balas terhadap perkara tidak benar.
“Kami pilih abaikan sahaja. Kalau pertahankan diri sekalipun, orang tetap kata kami poyo atau sengaja buat drama,” katanya kepada Kosmo! Online pada tayangan perdana filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 di sini, malam tadi.
Mengulas dakwaan Emma pernah mengalami keguguran, pelakon filem Emma menegaskan dirinya tidak tahu-menahu mengenai perkara tersebut.
“Saya tak pasti tentang hantaran itu sebab tak tengok media sosial pihak yang menyebarkannya. Saya kasihan dekat kakak saya sebab dia baru nak bangkit.
“Setiap orang ada dugaan masing-masing. Mungkin ada pihak di luar sana yang tak senang melihat dia kembali berdiri, lebih-lebih lagi selepas menjadi ibu tunggal,” luahnya.
Berpasak pada hakikat berani kerana benar, Chacha memberitahu dirinya tidak pernah letih menjadi pelindung kepada Emma setiap kali kakaknya itu terpalit dalam kontroversi.
“Kalau situasi benar-benar teruk, saya sendiri akan bersuara. Sebagai adik, saya akan terus mempertahankan kakak saya.
“Bila-bila dia perlukan saya, saya sentiasa ada. Saya tak akan penat pertahankan dia kerana dia kakak saya,” tegasnya.
Sebelum ini, Kosmo! pernah melaporkan Chacha mengakui terkejut mendengar khabar angin mendakwa Emma sudah berkahwin dengan seorang deejay kelab malam dikenali sebagai DJ Kidd.
Spekulasi bertambah panas apabila pasangan itu dikatakan bercuti bersama di luar negara selepas Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar. – KOSMO! ONLINE