‘Syukur, dapat juga saya bergraduasi’

1 week ago 12

ARAU – “Saya sama sekali tidak menyangka pengurusan tertinggi universiti menziarahi rumah saya dan lebih istimewa, saya diberi peluang menyarungkan jubah graduasi di hadapan ayah yang terlantar.”

Itu luahan graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), ‘Afif Syahmi Ahmad Sukri, 25, selepas menerima sumbangan wang tunai pendanaan awam warga universiti itu bagi menyelesaikan yuran konvokesyennya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kimpalan itu hampir tidak dapat bergraduasi akibat masalah kewangan kerana terpaksa menjadi tulang belakang keluarga bagi membantu menyara adik-beradik yang masih bersekolah.

“Saya sebenarnya sudah melupakan hasrat untuk naik pentas bergraduasi kerana lebih fokus mencari wang untuk membantu keluarga.

“Terima kasih warga UniMAP, syukur dan terharu atas bantuan kalian kepada saya dan keluarga,” katanya kepada Kosmo! di Guar Sanji di sini kelmarin.

Afif mula bekerja sambilan sebagai penghantar makanan sambil belajar bagi meringankan beban keluarga selepas bapanya, Ahmad Sukri Abu Seman @ Aziz, 54, yang juga pesara tentera, mengalami kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah, mengunjungi kediaman ‘Afif dan menyampaikan sumbangan hasil pendanaan ramai warga universiti.

Kutipan dana tersebut disumbangkan oleh pelajar, kakitangan dan pensyarah UniMAP sebelum diagihkan kepada beberapa pelajar kurang berkemampuan bagi memastikan mereka dapat bergraduasi tahun ini.

Mohd. Mustafa Al Bakri berkata, UniMAP terus mengutamakan kebajikan pelajar sebagai asas melahirkan modal insan holistik dan berdaya saing menerusi pelbagai inisiatif HEPA seperti bantuan kecemasan, subsidi makanan, bantuan peranti, sokongan psikososial dan penambahbaikan kemudahan kampus.

“Sokongan penuh Naib Canselor serta kerjasama institusi zakat, syarikat korporat dan NGO turut mengukuhkan jaringan kebajikan, terutama apabila 65 peratus pelajar UniMAP terdiri daripada keluarga B40 yang memerlukan bantuan bagi meneruskan pengajian.

“UniMAP juga antara universiti yang menyediakan penginapan 100 peratus dalam kampus bagi memastikan pelajar tinggal di persekitaran selamat, kondusif dan dekat dengan kemudahan akademik selain membantu mengurangkan kos sara hidup,” ujarnya.

Katanya, fokus kebajikan pelajar diperkukuh melalui Pelan Strategik UniMAP 2020–2025 dan bakal diberi tumpuan lebih mendalam dalam Pelan Strategik 2026–2030 bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak nyata kepada kesejahteraan, motivasi dan pencapaian pelajar.

Read Entire Article
Pertanian | | | |