RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar seluruh rakyat dapat berganding bahu menangani masalah jerebu yang semakin meruncing ketika ini.
Baginda menekankan kepentingan memohon pertolongan daripada Allah melalui solat hajat serta mengelakkan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Saya harap jerebu ini dapat dikurangkan pada masa akan datang, doa (agar) hujan (turun).
“Insya Allah, buat sembahyang hajat, minta doa kepada Allah agar jerebu berkurang dan terus tiada,”titah baginda selepas berkenan bercemar duli menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Puziah Musa, 57, balu kepada Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar, Imam 2 Masjid Ar Rahmat, Felda Lembah Klau yang meninggal dunia ketika menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan baru-baru ini.
Turut sama bercemar duli Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda berdua meluangkan masa kira-kira 30 minit berbual dan bertanya khabar keluarga allahyarham termasuk mengurniakan sumbangan kepada waris allahyarham.
Dalam masa sama, Tengku Abdullah turut memberi peringatan kepada individu yang masih melakukan pembakaran secara terbuka agar menghentikan perbuatan tersebut demi kesejahteraan bersama.
“Nasihat kepada mereka yang membuat amalan pembakaran secara terbuka, eloklah tidak (terus dilakukan), ini dapat mengurangkan kesan jerebu ini,” titahnya.
Mengulas mengenai kesihatan awam, baginda turut menasihatkan rakyat supaya memantau kesihatan diri serta anak-anak agar tidak terdedah kepada bahaya jerebu, terutamanya jika keadaan semakin merosot.
“Kalau keadaan jerebu ini bertambah (teruk), nasihatlah anak-anak tidak bermain di luar (rumah). Jaga diri masing-masing dengan baik,” titah baginda lagi.
Sejak beberapa hari lalu, jerebu dilaporkan mula menjejaskan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia susulan pembakaran terbuka yang dipercayai berlaku di dalam dan luar negara.- KOSMO! ONLINE