Sultan Ibrahim berangkat ke Arab Saudi, Bahrain esok

1 day ago 7

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berangkat mengadakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain bermula 3 November ini.

Menerusi satu kenyataan Istana Negara memaklumkan, keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi membuka lembaran baharu dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 68 tahun.

Jelas kenyataan itu, lawatan berkenaan turut mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 1984.

“Semasa berada di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi dan Bahrain akan turut diiringi paduka anakanda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

“Turut serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring,” kata Istana Negara.

Menurut kenyataan itu, lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

Kata Istana Negara, dalam tempoh 10 bulan tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Negara Tanah Suci itu juga merupakan rakan dagang ke-14 terbesar bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).

“Hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah. Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesa dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah haji dan umrah Malaysia saban tahun,” kata kenyataan itu.

Tambah Istana Negara, selesai lawatan di Arab Saudi, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Bahrain pada 6 November atas persilaan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, bagi lawatan negara yang julung kali diadakan sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun 1974.

Malaysia dan Bahrain juga bekerjasama dalam pelbagai sektor, dengan jumlah nilai perdagangan sebanyak RM1.19 bilion (USD0.26 bilion) pada tahun lalu, selain penglibatan aktif di pentas antarabangsa menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC-ASEAN).

Seri Paduka Baginda, bertitah lawatan ke Arab Saudi dan Bahrain merupakan kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan pelbagai negara luar demi kepentingan dan manfaat rakyat serta negara.

“Pada lawatan negara saya ke Singapura, Brunei, China dan Rusia, saya sentiasa menekankan kepentingan kerjasama dan persahabatan erat yang memberi manfaat bersama kepada rakyat dan negara kita.

“Arab Saudi dan Bahrain adalah dua negara yang amat dekat di hati saya serta mempunyai hubungan strategik yang penting. Saya mohon rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan lawatan ini demi manfaat jangka panjang negara kita,” titah Seri Paduka Baginda. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |