BUAT julung kali memperkenalkan tiga permata hati yang masih kecil di pentas, Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura membuatkan penonton teruja menyaksikan sisi penyayang penghibur tersohor itu.
Zepp Kuala Lumpur menjadi gelanggang buat pemilik nama lengkap Jamal Ubaidillah Mohd. Ali itu membuka tirai suku tahun pertama 2025 dengan persembahan mega bertemakan filem lakonannya, Azura yang diterbitkan pada 1984.
Mengajak empat daripada tujuh anaknya termasuk Osama Yamani, 25, mengiringinya ketika menyampaikan lagu penutup berjudul Seniman Menangis seolah-olah membayangkan pengorbanan sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni.
Tiada Zaki
Selain Osama yang juga penyanyi undangan membawakan lagunya sendiri, Bunga Seroja, cahaya mata yang turut di sisi Jamal pada segmen akhir itu ialah Iskandar Rayyan Yamani, 4, Nur Azura Yamani, 5, dan El Isaac Yamani, 3.
Begitupun, tidak kelihatan kelibat Zaki Yamani, 18, yang turut aktif di arena seni suara bahkan pernah bergelar juara Famili Duo 2023 bersama Osama.
Sebelum mempersembahkan karya garapan Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Habsah Hassan itu, Jamal mempersembahkan lagu Azura yang pernah menjadi siulan satu ketika dulu.
Bagai dijanjikan, beliau memperkenalkan insan bernama Azura iaitu puterinya yang merangkul mesra sebaik dipanggil.
Antara seleksi lain yang berkumandang di gelanggang gah itu pada malam minggu lalu adalah Kau Lupa Janji, Kekasih Awal Dan Akhir, Perjalananku, Gadis Melayu dan Takdir Penentu Segala.
Seleksi lain pada konsert berdurasi hampir dua jam itu adalah Seroja, Penghujung Rindu, Aku Penghibur, serta paduan suara bersama Wany Hasrita menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan.
Kereta hadiah penonton
Memenuhi hajat khalayak yang inginkan kepuasan berganda, lagu Nasib Diriku, Ke mana Ku Bawa, Sendiri dan Cenderawasih disampaikan secara medley.
Soal vokal dan penghayatan tiada siapa mampu menidakkan keampuhan Jamal sehingga membuatkan sekitar 1,200 penonton larut dibuai syahdu.
Namun bagai ada sesuatu yang kurang, bukan kerana hanya kira-kira 13 lagu penuh diperdengarkan, namun tema konsep yang didakwa ingin mengimbas kegemilangan era Azura tidak sampai.
Bagi generasi yang terlepas mengikuti filem romantik lakonan Jamal dan Ogy Ahmad Daud, bahkan yang pernah menonton kisah cinta tersebut tentunya teringin mendengar sedikit sebanyak pengalamannya mengenai naskhah terbabit.
Jika ada pun cerita mengenai Azura diselitkan hanya sepintas lalu, bahkan kemunculan sebuah kumpulan dalam segmen sketsa semacam membazirkan waktu, khalayak tertanya-tanya motif cuba disampaikan penganjur.
Begitupun, kelemahan ditutup dengan persembahan cemerlang penyanyi kesayangan ramai itu selain kepuasan maksima bagai didodoi suara emasnya.
Apatah lagi apabila seorang penonton berpeluang membawa pulang kereta Honda N1 berharga sekitar RM90,000 sebagai hadiah utama cabutan bertuah bagi pembeli tiket konsert kelolaan Live Injection Sdn. Bhd. itu.