‘Spiderman’ gigih kumpul duit mahu kahwin hujung tahun

2 days ago 6

NILAI – Di sebalik sosok ‘Spiderman’ yang sering menceria­kan kanak-kanak di Dataran Nilai, lelaki di sebalik kostum itu rupa-rupanya menyimpan cerita duka apabila wang simpanannya untuk melangsungkan per­kahwinan hilang.

Mohd. Khairul Anwar Rus­lan, 28, berkata, wang RM10,500 hasil titik peluh meniup belon di Dataran Nilai dari pukul 8 malam hingga 2 pagi itu tercicir ketika bercuti di Kuala Lumpur pada tahun lalu.

“Duit itu sudah lama saya kum­pul untuk majlis perkahwinan yang dirancang pada Sep­tember tahun lalu. Keja­dian itu berlaku ketika saya me­ngambil cuti dan pergi ke ibu negara untuk berehat. Tanpa se­dar, beg berisi wang yang se­patutnya saya serahkan kepada tunang itu tercicir,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut lelaki itu, insiden tersebut berlaku tiga hari sebelum dia menyerahkan dokumen perkahwinan kepada tunangnya.

Mohd. Khairul bergambar bersama penyanyi tempatan, Suki Low.

“Dua hari saya menangis, ti­dak tahu macam mana nak je­laskan kepada tunang, tetapi dia bagi semangat dan sanggup tunggu. Pernah terlintas untuk membuat pinjaman wang, tapi saya fikir lebih baik berusaha sendiri, jadi niat itu terbantut,” ujarnya.

Mohd. Khairul berkata, sejak kisah tersebut tular di media sosial baru-baru ini, ramai pelanggan baharu datang ke Dataran Nilai untuk berkongsi rezeki dengannya.

“Saya sudah mula menerima tempahan untuk acara sekolah dan sambutan hari lahir,” kata­nya yang bercadang untuk berkahwin pada penghujung tahun ini.

“Setakat ini saya sudah me­ngumpul wang sebanyak RM5,000, sasaran lagi RM5,000 untuk cukupkan belanja kahwin. Saya anggap ini sebagai ujian, dalam masa sama Allah beri rezeki dengan cara yang tidak disangka-sangka,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |