Solat jenazah Cikgu E dihadiri ramai, masjid sesak seperti solat Jumaat

2 weeks ago 18

PETALING JAYA – Suasana hiba menyelubungi Masjid Al-Ansar Halaman Meru Impian apabila ratusan orang ramai hadir menunaikan solat jenazah buat Allahyarham Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E.

Menerusi beberapa siaran langsung di TikTok dan hantaran di media sosial, kehadiran luar biasa itu membuatkan ruang utama masjid dipenuhi jemaah hingga ke luar pekarangan seolah-olah seperti solat Jumaat.

Masing-masing dilihat ingin memberikan penghormatan terakhir kepada Cikgu E yang dikenali dengan sifat penyayang, berjiwa lembut dan sentiasa membantu orang lain.

Dalam hantaran dimuat naik PU Syed di Thread, beliau kelihatan hadir ke solat jenazah Allahyarham Cikgu E sambil memuat naik beberapa keping gambar memaparkan suasana orang ramai di dalam masjid.

“Apa rahsia antara dirimu dengan Allah, wahai Nassry Mardee Ismail,” tulisnya.

Selain itu, seorang lagi kenalan Allahyarham juga memuat naik hantaran sama sambil menyifatkan kehadiran orang ramai seakan-akan solat Jumaat.

“Apa amalan Allahyarham Cikgu E ni ya? Bak kata ustaz yang bagi kuliah atau tazkirah Maghrib malam ni, ‘dah macam solat Jumaat,” kata @OmanSuhaimi.

Jenazah Allahyarham Cikgu E selamat dikebumikan pada pukul 9 malam tadi di Tanah Perkuburan Meru Raya.

Sementara itu, Anak Allahyarham, Nassrul Hakeem dalam hantaran di Facebook berterima kasih kepada orang ramai yang sudi membantu dalam mempermudahkan urusan pengebumian bapanya.

“Alhamdulillah, selesai sudah pengebumian Abah, terima kasih semua yang membantu,” katanya.

Terdahulu, Cikgu E menghembuskan nafas terakhirnya sekitar pukul 4.45 petang setelah bertarung nyawa selepas beberapa hari di Hospital Pantai Ipoh.

Cikgu E terkenal kerana keceriannya dan sikap positifnya meskipun perlu melawan tiga jenis kanser membabitkan buah pinggang, kelenjar dan paru-paru sejak Mac 2024. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |