KEJAYAAN menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 hari ini menyuntik semangat dan keyakinan baharu buat lima pemain hoki negara dalam misi meraih pingat emas Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.
Lima pemain itu adalah graduan Bacelor Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhamad Izham Azhar, Muhajir Abdu Rauf, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Muhibuddin Moharam.
Akhimullah akan turun bersama skuad hoki lima sebelah (5s) dengan status sebagai naib juara dunia bersama Arif dan Muhibuddin, bukan sahaja menggenggam skrol ijazah, malah akan segera kembali menjalani persiapan terakhir sebelum berlepas ke Thailand.
Baginya, kejayaan menamatkan pengajian dianggap sama manis dengan pingat emas yang pernah diraihnya bersama Malaysia pada Sukan SEA 2023, sekali gus bertekad untuk mengulangi pencapaian sama dalam edisi kali ini.
AKHIMULLAH“Saya ada kelas, tugasan, perlawanan dan latihan. Memang cukup untuk rasa tertekan, tetapi saya tangani semuanya dengan disiplin tinggi dan perancangan masa yang baik. Alhamdulillah, saya berjaya grad walaupun jadual saya padat.
“Sasaran saya dan pasukan tetap (pingat) emas. Ini platform untuk buktikan kemampuan dalam format baharu. Kami pelbagaikan taktikal dan fokus sepenuhnya untuk setiap perlawanan,” kata Akhimullah yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia Hoki 5s 2024.
Izham akan menggalas tugasan bersama skuad dalam dewan sementara Muhajir pastinya mahu mengubati kekecewaan terlepas podium Piala Sultan Azlan Shah dengan memastikan pasukan hoki padang meraih pingat emas di Thailand.
“Saya berharap dapat menggenggam pingat emas dan mengharumkan nama negara. Bagi mencapai kejayaan, tidak kira dalam bidang sukan atau pendidikan, jangan pernah berputus asa. Setiap kejayaan memerlukan pengorbanan dalam hidup,” ujar Muhajir. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

















































