JOHOR BAHRU – Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah membantu lebih 20,000 syarikat dalam melakukan pengujian dan perkongsian kepakaran setiap tahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, ini adalah untuk membantu syarikat mendapat pensijilan SIRIM yang diperakui mengikut piawaian tertentu.
Menurut beliau, sebagai rakan kongsi teknologi bagi semua industri, SIRIM berhasrat untuk memberi impak kepada industri dengan memastikan syarikat yang menggunakan inovasi institut tersebut berubah menjadi sebuah syarikat lebih maju.
“Kita mempunyai kepakaran dan fasiliti untuk melakukan pengujian dan pengesahan di SIRIM selain kita turut bekerjasama dengan semua agensi kerajaan terlibat.
‘’Ini untuk memastikan apa yang diguna pakai oleh industri termasuk dari segi pembinaan dan sebagainya selamat digunakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis SIRIM Silaturasa 2025, di SIRIM Johor, di sini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.
Ahmad Sabirin menjelaskan, antara industri yang banyak menggunakan kepakaran SIRIM adalah sektor pembuatan, plastik, kejurutetaan, pembinaan jalan raya dan pakaian.
Menurutnya, selari dengan perkembangan teknologi, SIRIM juga mempunyai pusat kecerdasan buatan (AI) yang memberikan latihan dan bimbingan kepada industri menerusi program Smart Tech Hub yang disediakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Katanya, pusat AI ini bukan sekadar memberi latihan sebaliknya memastikan kepakaran tersebut diterjemahkan dalam ekosistem industri seterusnya meningkatkan produktiviti dan hasil daripada syarikat masing-masing.
“Menerusi program ini, kita menyasarkan industri-industri mengguna pakai Al di bawah ekosistem Revolusi Industri (IR 4.0).
“Jadi, kita hendak pastikan tahun ini 40 syarikat akan menerima bimbingan dan tahun depan kerajaan menyasarkan sekitar 3,000 syarikat dalam masa tiga tahun, syarikat tersebut disasar menjadi mentor pada syarikat yang kecil,’’ katanya.