SINGAPURA – Singapura berdepan serangan siber ‘serius’ terhadap infrastruktur kritikalnya oleh entiti sangat canggih yang dikaitkan oleh pakar-pakar industri dengan China, kata Menteri Penyelaras Keselamatan, K. Shanmugan.
Serangan yang merupakan sebahagian daripada tahap penggodaman siber canggih dinamakan ancaman berterusan lanjutan (APT) itu menimbulkan bahaya serius dan boleh menjejaskan keselamatan Singapura, kata K. Shanmugam dalam ucapan lewat semalam.
“Saya boleh katakan ia serius dan sedang berlaku. Ia dikenal pasti sebagai UNC3886,” katanya yang juga menteri hal ehwal dalam negeri.
Shanmugam tidak mendedahkan penaja kumpulan itu tetapi UNC3886 dikenal pasti oleh firma keselamatan siber milik Google, Mandiant sebagai kumpulan pengintipan siber yang dikaitkan dengan China dan terlibat dalam serangan global.
“Walaupun ketika kita bercakap ini, UNC3886 sedang menyerang infrastruktur kritikal kita,” katanya sambil menambah, Agensi Keselamatan Siber (CSA) dan pihak berkuasa berkaitan sedang menangani masalah itu.
APT adalah penggodam sangat canggih yang biasanya mencuri maklumat sensitif dan mengganggu perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, telekomunikasi, air, pengangkutan dan bekalan elektrik, kata Shanmugam lagi.
“Jika serangan siber ini berjaya, ia boleh melakukan pengintipan dan menyebabkan gangguan besar kepada negara dan rakyat Singapura,” tambahnya.
Penggodaman sistem kuasa Singapura, contohnya, boleh mengganggu bekalan elektrik dan mendatangkan kesan sampingan kepada perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pengangkutan.
“Ada juga implikasi ekonomi. Bank, lapangan terbang dan industri kita tidak akan dapat beroperasi. Ekonomi kita boleh terjejas dengan ketara,” katanya.
Beliau berkata, antara tahun 2021 hingga 2024, APT yang disyaki terhadap Singapura meningkat lebih empat kali ganda.
Serangan siber terhadap kluster penjagaan kesihatan awam pada 2018 telah mengakses rekod ubat milik kira-kira 160,000 pesakit, termasuk perdana menteri ketika itu, Lee Hsien Loong. – AFP