Sindiket ubat ‘manja’, pil tak berdaftar bernilai RM6 juta tumpas

15 hours ago 6

KLANG – Sindiket penjualan dan pengedaran ubat-ubatan tidak berdaftar lebih RM6 juta tumpas hasil serbuan di enam buah premis termasuk stor haram sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Serbuan kira-kira pukul 11 pagi pada 23 Oktober lalu itu merampas antara ubatan seperti bahan perangsang seks (Sildenafil), antibiotik (Tetracycline dan Amoxicilin), steroid (Dexamethasone), pil kontraseptif (Ethinylestradiol/Levonorgestrel) dan antihistamine (Chlorpheniramine).

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan sepanjang serbuan itu. Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata, serbuan itu dilakukan menerusi kerjasama Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan serta Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) selain cawangan Penguatkuasaan Farmasi Pahang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, operasi melibatkan dua buah premis stor haram yang dijadikan lokasi penyimpanan ubat tidak berdaftar selain empat premis penjualan yang dikaitkan dengan sindiket itu.

“Hasil pemeriksaan telah berjaya merampas sebanyak 402 jenis ubat tidak berdaftar termasuk keluaran luar negara bernilai melebihi RM6 juta. Kesemua ubatan itu dipercayai diperolehi dari pembekal yang tidak sah untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas JKNS, penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.

“Tindakan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF JKNS dalam membanteras penjualan dan pengedaran ubat tidak berdaftar di pasaran bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin,” jelasnya.

Mengulas lanjut, JKNS berkata, kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBATS) telah dilancarkan sejak tahun 2024 dalam usaha membanteras pembekalan dan penjualan ubat tidak sah di negara ini.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status pendaftaran ubat melalui pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran ubat (MAL) sebelum membuat pembelian.

“Semakan boleh dilakukan di laman sesawang rasmi Bahagian Regulator Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my atau dengan menghubungi talian 03-7883 5400,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |