KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh dikenali sebagai ‘Geng Ashraf’ dalam satu serbuan di kawasan lot kedai sekitar Ampang, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.40 pagi itu, pasukan penguat kuasa terpaksa memecahkan pagar dan pintu utama rumah berkenaan sebelum berjaya masuk untuk melakukan pemeriksaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 27 lelaki warga Bangladesh yang disyaki diseludup masuk ke negara ini telah ditahan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua migran terbabit masuk ke negara jiran kira-kira tiga hari lalu sebelum dibawa masuk secara haram ke Malaysia.
“Turut diberkas ialah tiga lelaki warga Bangladesh yang dipercayai berperanan sebagai ahli sindiket, termasuk bertindak sebagai fasilitator dan penjaga rumah transit tersebut.
“Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari tahun lalu dengan menawarkan perkhidmatan membawa masuk warga asing menggunakan laluan negara ketiga sebelum menceroboh masuk ke Malaysia melalui Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zakaria, kesemua warga asing yang diseludup kemudiannya dibawa ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi tertentu.
Beliau berkata, setiap migran dikenakan bayaran sehingga RM8,000, sekali gus membolehkan sindiket itu dianggarkan meraih keuntungan sekitar RM2.4 juta sepanjang tempoh operasi mereka.
“Kesemua migran berusia antara 20 hingga 49 tahun itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“JIM menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ATIPSOM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
6







![[VIDEO] ‘Tengok Mekna gembira, sedih teringat Dara, Amoi dan Kelat di Jepun’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/Kegembiraan-Mekna-gambar-kecil-mandi-di-sebatang-sungai-di-Kuala-Gandah-Pahang-membuatkan-orang-ramai-sedih-terkenangkan-Dara-Amoi-dan-Kelat-yang-dihantar-ke-Jepun-baru-baru-ini..jpeg)









































