KUALA LUMPUR – Cubaan sindiket menyimpan dan memindahkan minyak sawit mentah (CPO) serta menjalankan aktiviti menyeludup ayam sabung dari Filipina tanpa lesen, tumpas dalam dua operasi berasingan di Lahad Datu dan Tawau, Sabah, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi khas itu digerakkan oleh pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama beberapa agensi penguat kuasa pada 15 Julai lalu.
Dalam serbuan pertama katanya, seramai empat lelaki berusia 20 hingga 31 tahun diberkas dan turut merampas kepala lori tangki berisi 30,000 liter CPO, sebuah van, beberapa tangki dan pam minyak.
“Jumlah keseluruhan minyak sawit yang dirampas dianggarkan 30,148 liter dengan nilai RM152,090, manakala jumlah keseluruhan nilai sitaan dalam serbuan itu mencecah RM645,890.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 5(1)(b) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam operasi kedua pada 18 Julai di Tawau pula beliau berkata, polis menyerbu dua lokasi berbeza dan menahan lima lelaki warga Indonesia, Filipina dan tempatan.
“Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pemeliharaan ayam sabung tanpa lesen.
“Sebanyak 622 ekor ayam sabung baka Filipina, ratusan sangkar ayam, vitamin dan 40 bilah pisau taji ayam turut dirampas. Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah RM3.28 juta,” ujarnya.
Azmi berkata, antara kesalahan yang disiasat termasuk mengimport haiwan tanpa lesen, menggaji warga asing tanpa permit, bekerja tanpa dokumen sah dan memiliki senjata berbahaya.
Katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai lalu, WCB/PSK telah melaksanakan 173 serbuan di seluruh negara melibatkan penahanan 306 individu dengan nilai rampasan mencecah RM544.7 juta. – KOSMO! ONLINE