Tangguh dulu perjalanan haji jika tidak sihat

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan bakal haji yang belum melepasi tahap kesihatan minimum supaya menangguhkan perjalanan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, saranan itu bukan sebagai sekatan, tetapi peluang untuk memperbaiki kesihatan dan bersedia sepenuhnya.

Malah kata beliau, TH dan Kementerian Kesihatan (KKM) kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib agar hanya bakal haji yang benar-benar layak dari segi kesihatan dibenarkan berangkat.

“ibadah haji bukan sekadar rukun Islam kelima, ia juga ujian kemampuan (istito’ah), termasuk kemampuan dari segi kesihatan fizikal dan mental. Tanpa tubuh yang sihat, ibadah haji yang sempurna sukar untuk dicapai.

“Saya yakin bahawa ibadah haji yang sempurna bermula dengan tubuh badan yang sihat dan hati yang bersedia,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, dalam kenyataan tersebut, beliau
menyambut baik pengumuman Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai syarat kesihatan baharu bagi ibadah haji musim 1447H/2026M.

Beliau berkata, TH dengan kerjasama KKM bersedia memastikan setiap jemaah haji Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dari tanah air hingga ke Tanah Suci.

“Dengan 225 petugas perubatan KKM di Tanah Suci, kita yakin mutu perkhidmatan kesihatan jemaah Malaysia akan terus berada pada tahap terbaik.

“Kerajaan Arab Saudi, terutamanya Kementerian Kesihatan juga telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan hospital sektor awam dan swasta yang moden dgn teknologi terkini, dan penambahan anggota kesihatan bagi operasi haji serta perkhidmatan kesihatan di kawasan-kawasan utama ibadah haji,*katanya.

Beliau menambah, TH juga akan memastikan setiap penginapan jemaah di Makkah dan Madinah dilengkapi klinik kesihatan, farmasi, dan pegawai perubatan bertauliah, manakala kes serius akan dirujuk ke hospital Arab Saudi dengan pemantauan rapi oleh pakar KKM.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan garis panduan kesihatan untuk semua negara dan Malaysia komited untuk mematuhinya.

Tujuannya jelas bagi menjaga keselamatan, kelancaran dan kesempurnaan ibadah para dhuyufurrahman.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |