STB susun program menarik raikan komuniti pekak di Sabah

6 hours ago 4

PETALING JAYA – Bersempena meraikan Hari Pekak Sedunia pada 28 September lalu, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah mengambil inisiatif menyeluruh untuk memastikan semua orang, termasuk komuniti pekak dan kurang pendengaran,  merasai sambutan yang mesra dan inklusif, khususnya dalam kalangan komuniti pekak di Sabah.

Sebagai permulaan untuk mencapai misi berkenaan, STB telah memulakan beberapa inisiatif ke arah keterangkuman untuk menjadikan ia sebagai sebuah organisasi yang mesra komuniti kurang upaya pendengaran.

Sehubungan itu, pada awal tahun ini, lembaga pelancongan tersebut telah bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD) dan Politeknik Kota Kinabalu untuk menganjurkan acara inklusif mesra pekak melalui Lampoopalooza, iaitu satu acara tahunan muzik, cahaya dan seni yang  bertujuan untuk memperkasakan komuniti dan mempromosikan kesedaran positif.

“Acara ini meraikan kepelbagaian dan memupuk suasana inklusif, dengan harapan untuk mencetuskan lebih banyak acara inklusif di Sabah serta memperkasa komuniti kurang upaya pendengaran dengan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya budaya keterangkuman,” katanya dalam kenyataan.

Pada acara tersebut, kakitangan STB dan ahli komuniti kurang upaya pendengaran bergabung tenaga untuk membuat persembahan pembukaan dengan menggunakan bahasa isyarat.

Konsert itu juga disertai dengan jurubahasa isyarat, bagi membolehkan pengunjung yang mempunyai kelainan upaya yang sama menikmati acara tersebut bersama-sama komuniti Kota Kinabalu yang hadir.

“Acara tersebut telah memujudkan semangat tinggi sekali gus memberikan pengalaman yang baharu kepada tetamu, termasuk pelawat antarabangsa,” ujar beliau.

Pelajar Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD) dari program ‘Sijil Khas Operasi Katering’ di Sekolah Pelancongan dan Hospitaliti Politeknik Kota Kinabalu turut mempamerkan kemahiran mereka dalam perkhidmatan makanan dan minuman dengan menyertai acara sebagai penjual.

Penyertaan mereka memberi peluang dan keyakinan untuk menyumbang secara aktif dalam acara pelancongan tempatan.

Selain  Lampoopalooza, STB  juga telah melaksanakan usaha dalaman bagi meningkatkan kesedaran dalam kakitangannya dengan menganjurkan dua siri kursus asas bahasa isyarat  yang dikendalikan oleh jurulatih dari SSD.

Seramai 37 kakitangan STB  telah dilatih untuk berkomunikasi dalam Bahasa Isyarat Malaysia melalui program khas yang disesuaikan dengan keperluan sektor pelancongan.

“Jelas sekali, penyertaan STB dalam Matta Fair Kuala Lumpur dan Johor Bahru baru-baru ini telah menghubungkan pasukan tersebut dengan pengunjung pekak yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Sabah.

“Usaha ini mempromosikan keterangkuman komuniti kurang upaya pendengaran dalam pavilion pelancongan Sabah, membuka jalan ke arah masa depan pelancongan yang lebih inklusif,” terangnya.

Selain itu, STB turut mengadakan lawatan pengenalan pelancongan khas untuk orang pekak dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA) yang melibatkan seramai 30 ahli dari SSD menyertai lawatan bandar separuh hari dan melawat Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu.

Selaras dengan visi ASEAN 2025 ke arah komuniti yang berorientasikan dan berpusatkan rakyat, STB juga  telah memulakan langkah ke arah mewujudkan pengalaman pelancongan yang mesra dan memberdayakan semua pelawat, termasuk komuniti pekak dan kurang pendengaran.

“Dengan menerapkan elemen keterangkuman dalam amalan terasnya, daripada perancangan acara dan latihan staf hingga kepada kerjasama komuniti, kami  sedang mengorak langkah ke arah masa depan di mana Sabah bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan utama, tetapi juga memperkukuh kedudukan sebagai model pelancongan inklusif dan mudah diakses di rantau ini dan seterusnya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |