Siapa pasang lagu ‘Selamat Hari Jadi’ di sekolah tak berpenghuni?

3 hours ago 3

MADRID – Satu kejadian misteri menggemparkan penduduk Javali Viejo, Sepanyol apabila lagu ‘Selamat Hari Jadi’ dimainkan menerusi sistem pembesar suara sebuah sekolah selama lima jam tanpa henti ketika kemudahan itu tidak berpenghuni, lapor akhbar Metro UK.

Dalam kejadian minggu lalu, lagu kanak-kanak dalam bahasa Sepanyol tersebut dapat didengari dengan kuat dari pukul 11 malam (waktu tempatan) hingga 4.30 pagi (waktu tempatan), menyebabkan penduduk setempat sukar tidur.

Seorang penduduk dikenali sebagai Juana berkata, dia menelofon polis selepas berasa tertekan mendengar bunyi lagu yang kuat dari sekolah yang ditutup itu.

“Pada awalnya, mereka ketawa apabila mendengar laporan saya. Namun, selepas saya mendekatkan telefon pada bunyi lagu itu, polis memberitahu bahawa ia akan meminta pasukan bomba untuk datang,” kata Juana.

Sementara itu, seorang anggota bomba, Paco berkata, panggilan itu dianggap kecemasan melihatkan situasi tersebut walaupun mereka pada awalnya menganggap ia lucu.

“Namun, sebaik sahaja kami masuk ke dalam bangunan sekolah, ia bagaikan mengadiri majlis hari jadi dalam gelap. Situasinya agak menyeramkan,” katanya.

Tambah Paco, pihaknya cuba menghentikan lagu itu menggunakan komputer, namun ia tidak berhenti.

Ia akhirnya berjaya dihentikan selepas anggota bomba mencabut suis sistem pembesar suara secara manual.

“Kami tidak mahu mengganggu sambutan hari jadi sesiapa, tetapi ia bukanlah masa yang sesuai untuk menganjurkannya,” kata jurucakap Jabatan Bomba Murcia secara bergurau.

Sehingga kini, tidak jelas sama ada alunan lagu itu sekadar gurauan nakal atau berpunca daripada kerosakan pada sistem bunyi. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |