‘Kedai bakeri tidak akan ditutup, semalam saya burnout’

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Kedai bakeri nyaris ditutup selepas lima bulan beroperasi, model dan usahawan Zahnita Wilson menarik balik keputusan itu tidak sampai sehari pengumuman dibuat.

Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, berkata berkat sokongan pasukan serta pengurusan, premis perniagaan di Seri Kembangan, Selangor itu akan terus beroperasi.

“Selamat pagi. Saya hanya mahu mengambil masa sebentar bagi menjelaskan keadaan susulan hantaran saya semalam (di media sosial).

“Saya jamin, kedai saya tidak akan ditutup. Saya dibantu pasukan yang akan memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

“Semalam mungkin saya sedang ‘burnout’ (terlalu penat). Tetapi saya tak akan tidak akan menyerah,” katanya menerusi perkongsian video dalam Instagram.

Menurut pengusaha yang sebelum ini menyediakan pastri dari rumah, perkara utama diperlukan buat masa ini adalah mengumpul semula semangat.

“Saya hanya perlukan sedikit masa untuk mengembalikan kekuatan dan tenaga saya. Sekali lagi, terima kasih banyak-banyak kepada semua penyokong saya.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang mengirimkan mesej serta kata-kata semangat anda,” ujarnya.

Terdahulu, pengumuman keputusan menutup kedai yang dimiliki bersama kakaknya itu dilakukan Zahnita menerusi video di akaun media sosialnya.

Katanya, dia tidak mampu lagi untuk bertahan selain menyifatkan perjuangan dilalui amat berat sehingga dia mahu kembali semula sebagai ‘home baker’.

Antara cabaran dihadapi termasuk tekanan menguruskan operasi harian serta hal peribadi yang turut memberi kesan terhadap dirinya secara emosi dan fizikal.

Personaliti popular itu aktif menjalankan perniagaan yang dikenali sebagai Zahnita Humble Pie bermula akhir tahun lalu yang memulakan operasi dari rumah.

Difahamkan perniagaan berkenaan diusahakan bagi menampung kehidupannya berikutan masalah rumah tangga yang dihadapinya.

Berikutan sambutan mengalakkan, Zahnita membuka pula sebuah kedai pai dan pastri bersama kakaknya pada 1 Jun lalu.

Tahun lalu, kemelut rumah tangga ibu kepada empat cahaya mata itu menjadi perhatian apabila dia memfailkan penceraian terhadap suami, Abd. Zackery Ghouse, 47. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |