Kelab perkampungan nelayan juara Sweden

5 hours ago 5

STOCKHOLM – Kelab kecil dari perkampungan nelayan di selatan Sweden bernama Hallevik iaitu Mjallby mencipta sejarah baharu bola sepak Sweden apabila menjuarai kejuaraan liga divisyen utama negara berkenaan, Allsvenskan.

Kemenangan 2-0 Mjallby AIF ke atas Gothenburg di Stadium Gamla Ullevi awal pagi tadi secara tidak langsung mengesahkan kejayaan tersebut meskipun saingan liga masih berbaki tiga perlawanan musim ini.

Kejayaan bersejarah itu hasil jaringan daripada Jacob Bergstrom dan Tom Pettersson buat Mjallby yang mempunyai jumlah penduduk kurang daripada 1,400 orang dan bermain di sebuah stadium usang berkapasiti 6,000 tempat duduk terletak berhampiran Laut Baltik.

“Ia satu kelegaan besar untuk merasai detik bersejarah ini dengan baki tiga perlawanan,” kata pengendali Mjallby, Anders Torstensson yang merupakan bekas pegawai tentera dan guru sekolah menengah.

Mjallby kini mengumpul 66 mata hasil 20 kemenangan, enam seri dan satu kekalahan daripada 27 perlawanan, manakala pasukan di tempat kedua, Hammarby hanya mempunyai 55 mata dan sudah tidak sempat untuk mengejar kedudukan itu.

“Saya tak pernah terfikir perkara seperti ini akan berlaku dalam hidup saya. Saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan kami buktikan semangat berpasukan boleh membawa kita pergi sangat jauh,” tambah Bergstrom.

Sebagai rekod, Mjallby hanya mempunyai bajet sebanyak 84.7 juta kronor (RM39 juta) tahun lalu, kira-kira satu per lapan daripada kewangan kelab terkaya Sweden, Malmo yang kini berada di tangga keempat dan sudah memenangi empat daripada lima kejuaraan terakhir.

Kejayaan itu juga membolehkan Mjallby akan beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan, namun tidak dapat bermain di stadium asal mereka kerana kemudahan tersebut tidak memenuhi piawaian keselamatan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA). – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |