Sindiket minuman keras dan rokok seludup bernilai RM11,129,769 tumpas

17 hours ago 6

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran minuman keras dan rokok putih disyaki tidak berkastam menerusi dua serbuan berasingan di Lembah Klang, baru-baru ini.

Pengarah Kastam WPKL, Wan Norizan Wan Daud, serbuan pertama dilakukan pada 19 Ogos lalu kira-kira pukul 1.30 petang hasil risikan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL di sebuah gudang persendirian di Taman Prima Tropika, Seri Kembangan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 5,787 liter minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM921,769,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam WPKL di Kelana Jaya, hari ini.

Beliau berkata, sebuah lori lima tan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pembekalan minuman keras seludup turut disita dan tiga lelaki warga asing ditahan.

Menurutnya, pengimportan minuman keras memerlukan lesen import serta setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan menjalankan pembungkusan semula dan pembekalan secara pukal di kawasan perindustrian serta pembinaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada 29 September lalu, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL berjaya mematahkan aktiviti penyimpanan dan pembekalan rokok putih disyaki tidak berkastam di sebuah gudang persendirian di Jalan Subang Permai, Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan menemukan 11.6 juta batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM2.32 juta serta jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM7.88 juta,” katanya.

Wan Norizan berkata, siasatan mendapati, sindiket berkenaan menyimpan dan mengedar rokok secara pukal di gudang tanpa tanda bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tambahnya, seorang penjaga stor tempatan ditahan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |